HATYAI, THAILAND – Cubaan satu sindiket untuk menyeludup dadah seberat lebih 205 kilogram (kg) bernilai RM12.26 juta ke Malaysia gagal selepas empat ahlinya ditahan dalam beberapa serbuan di sini pada Jumaat lalu dan kelmarin.
Bahagian Pembanterasan Narkotik Polis Wilayah 9, Balai Polis Hatyai dan Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9 berjaya menggagalkan cubaan sindiket itu untuk menyeludup kesemua syabu tersebut menggunakan kurier dari Hatyai ke Narathiwat.
Jurucakap Bahagian Pembanterasan Narkotik Polis Wilayah 9 berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penghantaran beberapa bungkusan disyaki dadah menggunakan perkhidmatan syarikat kurier pada Jumaat lalu.
Katanya, pihak berkuasa menahan suspek kira-kira pukul 9.30 pagi ketika lelaki itu mengambil bungkusan menggunakan sebuah trak pikap di sebuah syarikat kurier di Mukim Ban Phru di sini.
“Pemeriksaan mendapati, terdapat beberapa bungkusan mengandungi syabu bersama suspek. Siasatan kemudian membawa kepada penahanan dua lagi suspek di rumah mereka di Mukim Khuan Lang di sini.
“Lelaki pertama yang ditahan diberikan kepercayaan untuk menghantar dadah kepada dua lagi suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jurucakap itu berkata, salah seorang suspek yang ditahan mengaku melakukan tiga penghantaran syabu seberat 800 kg kepada seorang rakan mereka di Narathiwat dengan bayaran RM19,622 hingga RM24,528.
Katanya, siasatan lanjut mendapati, seorang wanita dalam perjalanan dari Wilayah Narathiwat untuk mengambil dadah tersebut.
“Risikan dilakukan sebelum seorang wanita warga emas berusia 62 tahun yang memandu trak pikap ditahan di Jalan Kanchanawanit di sini Ahad lalu,” ujarnya.
Tambahnya, wanita tersebut mengaku dadah seberat 205 kg itu akan dihantar ke Jeti Tak Bai, Narathiwat sebelum diseludup ke Malaysia melalui Pengkalan Kubor, Tumpat.
Kredit sumber: KOSMO! ONLINE
