SANDAKAN: Kerajaan Persekutuan disaran supaya berhati-hati dalam mempertimbangkan sebarang perubahan terhadap sistem percukaian negara bagi memastikan rakyat, khususnya di Sabah, tidak menjadi mangsa kepada reformasi cukai.
ADUN N55 Elopura, Calvin Chong berkata, beliau mengambil maklum pendirian kerajaan yang terbuka untuk mengkaji kemungkinan menggabungkan atau menerapkan elemen tertentu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke dalam sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menurutnya, sebarang perubahan sistem percukaian tidak wajar hanya dilihat dari sudut usaha meningkatkan hasil negara, sebaliknya perlu mengambil kira tekanan kos sara hidup yang sedang ditanggung rakyat.
Katanya, kenaikan harga makanan, pengangkutan, sewa rumah, utiliti serta keperluan harian terus memberi tekanan kepada isi rumah, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Dalam keadaan rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup, kerajaan tidak seharusnya membuka ruang kepada sistem percukaian baharu yang akhirnya menyebabkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan dikenakan cukai sehingga meningkatkan kos yang perlu ditanggung pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Calvin berkata beliau tidak menolak GST secara prinsip kerana melihat sistem itu mempunyai mekanisme percukaian yang lebih menyeluruh dan telus, terutama dari segi rantaian kutipan serta pemantauan cukai.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan benar-benar mahu melakukan pembaharuan terhadap sistem percukaian negara, GST boleh dipertimbangkan dengan pelaksanaan yang terkawal, telus dan mempunyai perlindungan mencukupi kepada rakyat.
“Saya tidak anti-GST. Jika kerajaan benar-benar mahu memperkemaskan sistem percukaian negara, saya lebih terbuka kepada GST yang dilaksanakan secara terkawal dan telus.
“Dalam keadaan rakyat sedang susah, saya berpandangan kadar permulaan boleh dipertimbangkan sekitar dua peratus sahaja dan bukannya terus mengenakan kadar tinggi yang boleh membebankan rakyat,” katanya.
Menurutnya, kadar rendah seperti dua peratus boleh dijadikan langkah awal bagi menguji keberkesanan sistem berkenaan, selain membolehkan kerajaan menilai kesannya terhadap harga barang, perniagaan dan ekonomi negara.
Pada masa sama, beliau berkata barangan keperluan asas rakyat perlu diberikan perlindungan sekiranya sistem berkenaan diperkenalkan.
Calvin turut mempersoalkan keperluan kerajaan mengambil elemen GST ke dalam SST sekiranya sistem percukaian sedia ada benar-benar sudah mencapai tahap yang baik.
“Kalau SST sudah cukup baik dan sempurna, mengapa sekarang kerajaan perlu mengambil elemen GST dan menggabungkannya? Jika terdapat kelemahan dalam SST, kerajaan perlu mengakuinya secara terbuka dan mengambil langkah untuk memperbaikinya.
“Jangan sampai kelemahan sistem sedia ada ditutup dengan istilah gabungan SST-GST sedangkan akhirnya rakyat pula yang menanggung kesannya,” katanya.
Beliau berkata, rakyat berhak mendapatkan penjelasan sebenar mengenai perubahan yang bakal dibuat, termasuk rasional, kadar cukai serta kesannya terhadap pengguna dan sektor perniagaan.
Lebih penting, katanya, sebarang reformasi percukaian perlu mengambil kira kedudukan Sabah yang mempunyai keadaan ekonomi dan tahap pendapatan rakyat yang berbeza berbanding negeri-negeri di Semenanjung.
“Masih ramai rakyat Sabah berpendapatan rendah, bergantung kepada perniagaan kecil-kecilan, pekerjaan tidak formal serta sektor yang mudah terkesan dengan peningkatan kos operasi.
“Jika cukai diperluaskan tanpa mengambil kira realiti ini, rakyat biasa dan peniaga kecil akan menjadi golongan paling terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, Calvin menegaskan Sabah tidak seharusnya hanya dilihat sebagai negeri yang menyumbang hasil kepada kerajaan Persekutuan tanpa mendapat pulangan pembangunan yang sewajarnya.
Katanya, jika kerajaan mahu meningkatkan hasil melalui sistem percukaian yang lebih cekap, isu pemulangan hasil kepada Sabah juga perlu diberi perhatian serius.
“Jangan rakyat Sabah dikenakan cukai seperti rakyat di negeri lain, tetapi apabila menyentuh pembangunan, infrastruktur, bekalan air, elektrik, jalan raya dan kemudahan awam, Sabah masih perlu menunggu dan terus ketinggalan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kerajaan Persekutuan supaya tidak mengetepikan hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan, termasuk tuntutan berkaitan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh Persekutuan daripada Sabah.
Menurutnya, kerajaan perlu memberikan penjelasan jelas mengenai jumlah hasil tambahan yang akan dikutip melalui sebarang perubahan sistem percukaian dan berapa bahagiannya yang akan dikembalikan kepada Sabah bagi tujuan pembangunan serta kesejahteraan rakyat negeri itu.
“Jangan hanya bercakap mengenai usaha meningkatkan hasil kerajaan, tetapi apabila sampai kepada hak dan hasil Sabah, kerajaan terus berdolak-dalik,” katanya.
Calvin berkata, beliau menyokong usaha memperbaiki sistem percukaian sekiranya langkah berkenaan mampu mengurangkan ketirisan, meningkatkan ketelusan dan menjadikan kutipan cukai lebih adil.
Namun, katanya, beliau menolak pendekatan yang menjadikan rakyat sebagai sumber mudah untuk menampung keperluan kewangan kerajaan.
Beliau turut menggesa kerajaan mengambil iktibar daripada pengalaman lalu sekiranya GST mahu diperkenalkan semula, termasuk memastikan kadar cukai rendah, pengecualian terhadap barangan keperluan dan mekanisme kawalan harga diberi perhatian.
“Kerajaan perlu membuktikan terlebih dahulu sistem sedia ada telah diurus dengan cekap, ketirisan ditangani dan perbelanjaan kerajaan dilaksanakan secara berhemah sebelum rakyat diminta menanggung beban cukai yang lebih besar.
“Jangan setiap kali kerajaan memerlukan lebih banyak hasil, rakyat pula yang diminta berkorban,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang perubahan daripada SST kepada sistem yang mempunyai ciri GST perlu melalui proses libat urus yang telus bersama rakyat, peniaga, sektor industri dan kerajaan negeri, termasuk Sabah.
Katanya, keputusan tidak sepatutnya dibuat sepenuhnya di Putrajaya tanpa mengambil kira pandangan serta keadaan sebenar rakyat di negeri-negeri.
“Sebagai ADUN Sabah, saya akan terus menyuarakan perkara ini dengan tegas. Kami bukan menolak reformasi, tetapi kami menolak reformasi yang mengorbankan rakyat.
“Jika kerajaan mahu memperkenalkan sistem cukai yang lebih luas, kerajaan juga perlu memberikan jaminan bahawa kos sara hidup tidak meningkat, golongan berpendapatan rendah dilindungi dan hak Sabah terhadap hasil negeri dihormati sepenuhnya,” katanya.
Calvin berkata, sekiranya kerajaan yakin GST lebih baik, penjelasan secara terbuka perlu diberikan kepada rakyat mengenai bentuk sistem yang mahu diperkenalkan, sebab perubahan diperlukan serta kadar yang bakal dikenakan.
“Jika keadaan rakyat memang sangat sukar, mulakan dengan kadar yang munasabah seperti dua peratus dan nilai semula kesannya.
“Jangan gunakan reformasi cukai sebagai alasan untuk mengutip lebih banyak daripada rakyat. Rakyat sudah cukup terbeban. Jangan tambah lagi beban mereka atas nama reformasi cukai,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
