SANDAKAN, 20 Ogos 2026 – Kerajaan Persekutuan sedang meneliti aspek perundangan serta bidang kuasa berkaitan pembangunan ekonomi biru di Sabah bagi memastikan pelaksanaannya kelak tidak mencetuskan pertikaian antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata penelitian itu turut mengambil kira Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya berdasarkan pengalaman berhubung isu minyak dan gas.
Katanya, kedudukan sesuatu perkara sama ada termasuk dalam Senarai Negeri atau Senarai Persekutuan perlu diperjelaskan lebih awal sebelum sektor ekonomi biru berkembang secara lebih meluas.
“Cuma dari sudut MA63, saya sedang meneliti supaya bila ekonomi biru ini dilaksanakan nanti tidak akan ada berlaku pertikaian. Sebab pengalaman kita bila kita menangani isu oil & gas, sekarang ini sudah timbul di mana di bawah State List, di mana di bawah Federal List,” katanya.
Menurut Mustapha, undang-undang Persekutuan serta ordinan negeri yang mempunyai kaitan dengan ekonomi biru juga boleh dikaji dan diselaraskan bagi mengelakkan percanggahan bidang kuasa pada masa akan datang.
Beliau berkata, sekiranya wujud perkara yang berpotensi menimbulkan pertikaian, isu berkenaan boleh dibawa untuk perbincangan menerusi Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Induk MA63.
Bagaimanapun, Mustapha menegaskan bahawa setakat ini belum timbul sebarang pertikaian berkaitan ekonomi biru, sebaliknya pihaknya masih dalam proses mendapatkan pandangan serta maklumat daripada pihak berkaitan.
Dalam pada itu, beliau berkata ekonomi biru merupakan antara sektor baharu yang dilihat mempunyai prospek besar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah.
Antara bidang yang mempunyai potensi termasuk penjanaan tenaga berasaskan sumber lautan, akuakultur, sumber marin serta penerokaan mineral di kawasan laut.
Sehubungan itu, beliau turut menggalakkan institusi pendidikan tinggi, termasuk politeknik, supaya menyelaraskan perancangan akademik dan program latihan dengan keperluan industri ekonomi biru.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan Sabah mempunyai tenaga kerja berkemahiran yang mampu memenuhi permintaan sektor berkenaan apabila industri itu berkembang.
Mustapha berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Aquagro Fiesta 2026 di Politeknik Sandakan Sabah, petang tadi.
Program yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan institusi politeknik, agensi berkaitan pertanian dan perikanan serta pemain industri bagi memperkukuh jaringan kerjasama, menggalakkan inovasi dan memperkasa pembangunan bakat dalam sektor berkenaan. – DAKWAT RAKYAT POST
