KOTA KINABALU, 20 Ogos 2026 – Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh hubungan kerjasama dengan Kerajaan Sabah dalam usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor koperasi di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk Mohamad Alamin, di Menara Kinabalu, hari ini.
Pertemuan itu antara lain membincangkan langkah memperluas ekosistem keusahawanan selain membuka lebih banyak ruang dan peluang perniagaan kepada usahawan tempatan.
Mohamad berkata, antara perkara yang turut diberi perhatian ialah usaha menyediakan ruang niaga yang lebih sesuai kepada penjaja serta pengusaha kecil di Sabah.
Katanya, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri penting bagi memastikan pelbagai inisiatif pembangunan usahawan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dalam pertemuan itu, KUSKOP turut menjemput Hajiji untuk menghadiri dan menyempurnakan majlis penutupan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia Edisi Sabah yang akan berlangsung selama tiga hari, dari 23 hingga 25 Oktober 2026 di Kota Kinabalu.
Majlis penutupan karnival berkenaan dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober dan dijangka menerima kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung.
Karnival itu dijangka menjadi antara ruang penting untuk memperkenalkan produk serta perkhidmatan usahawan tempatan, di samping memperluas jaringan perniagaan dan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam sektor keusahawanan.
Kunjungan hormat berkenaan turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan; Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Ahmad Norihan Jalal serta wakil TEKUN Nasional, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Amanah Ikhtiar Malaysia dan Bank Rakyat.
Kerjasama antara agensi Persekutuan dan Kerajaan Sabah itu diharap dapat terus diperkasakan bagi mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif serta meningkatkan peluang kepada PMKS dan gerakan koperasi untuk berkembang di negeri ini. – DAKWAT RAKYAT POST
