JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan rumah rakit di Masai sebagai stor.
Dalam siri serbuan pada 12 Ogos lalu termasuk di sebuah rumah rakit, polis menahan sembilan suspek termasuk seorang wanita warga asing dan merampas dadah bernilai RM7.9 juta.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, dalam serbuan itu, polis turut menahan dalang sindiket berkenaan yang berusia 54 tahun.
“Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Masai di sini, tiga lelaki tempatan ditahan dengan pelbagai jenis dadah termasuk dua mesin yang digunakan untuk memproses ekstasi dan peralatan untuk pembungkusan semula dadah.
“Manakala, serbuan kedua di rumah rakit itu, kita menahan empat lelaki tempatan termasuk ‘mastermind’ dan turut merampas sejumlah dadah.
“Serbuan ketiga pula dibuat di sebuah rumah di Ulu Tiram di sini, sebelum sepasang kekasih ditahan dengan sejumlah dadah,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal Januari.
Menurut beliau, jumlah dadah yang dirampas adalah 40.381 kilogram (kg) serbuk MDMA; 23.869 kg serbuk ekstasi; 23,025 biji pil Erimin 5; 0.574 kg syabu; 4.91 kg ketamin; 18.40 liter cecair ketamin dan 230 katrij cecair syabu yang semuanya dianggarkan bernilai RM7.93 juta.
Katanya, turut disita lima kereta pelbagai jenis, dua bot laju dan wang tunai RM11,320.
Sementara itu, Chuan Huat berkata, saringan air kencing mendapati semua suspek yang berusia antara 35 hingga 60 tahun itu positif methamphetamine.
“Pemeriksaan rekod kesalahan lampau mendapati enam daripada mereka memiliki rekod kesalahan membabitkan kes dadah.
“Semua suspek kini dalam tahanan reman sehingga 25 Ogos ini,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
