OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Mark Carney mengumumkan negara itu akan mengenakan tarif balasan terhadap import keluli, barangan elektronik dan produk lain dari Amerika Syarikat (AS) bermula 8 September ini, sebagai tindak balas atas tindakan Presiden Donald Trump memulakan tarif 50 peratus.
Langkah itu diambil susulan kegagalan kedua-dua negara mencapai kesepakatan dagang selepas rundingan berterusan hingga lewat Jumaat, sekali gus mengeruhkan hubungan rakan dagang tradisi itu serta menjejaskan Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA).
Tarif baharu dikuatkuasakan Trump membabitkan eksport Kanada bernilai kira-kira AS$20 bilion (RM87.6 bilion) merangkumi sektor produk tenusu, simen, pakaian, kelengkapan sukan, perabot dan wain tanpa memberikan sebarang pengecualian di bawah USMCA.
“Kanada akan membalas tarif baharu Washington dolar demi dolar bagi melindungi pekerja, petani, keluarga serta perniagaan di Kanada,” kata Carney dalam satu sidang media di Bangunan Parlimen pada Sabtu.
Beliau menegaskan, Kanada terpaksa bertindak balas selepas tuntutan minit terakhir daripada pentadbiran AS menjejaskan kemajuan rundingan yang dijalankan sebelum ini.
“Apabila diserang, anda berada dalam krisis. Kami diserang,” katanya ketika ditanya sama ada Kanada kini berada dalam perang perdagangan.
Carney menjelaskan, syarat baharu yang dikemukakan AS disifatkan tidak ekonomik, tidak adil dan merosakkan faedah bersih buat Kanada, termasuk cubaan membatasi keupayaan Ottawa untuk menjalin perjanjian perdagangan baharu.
“Kami tidak boleh menerima apa yang mereka tawarkan dan kami tidak akan menyerahkan apa yang mereka minta,” katanya.
Bagi mengurangkan impak kerosakan, Kanada merancang mengumumkan langkah sokongan berterusan mulai minggu depan bagi membantu industri terjejas seperti kayu lembut dan wain yang berdepan risiko kerugian serta penutupan perniagaan.
Dalam pada itu, Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer memberitahu saluran Fox News bahawa tiada rundingan baharu dirancang bersama Kanada dan Washington bersedia bergerak maju dengan tindakan balas yang sesuai.
Langkah tegas Carney mendapat sokongan Premier Ontario, Doug Ford, yang menyifatkan tawaran AS sebelum ini sebagai perjanjian buruk yang merugikan sektor pembuatan, keluli dan automotif.
Kredit sumber: REUTERS/Berita Harian
