Kota Bharu: Ada ibu bapa yang mempertahankan anak mereka walaupun terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ada budaya tetap masih mahu pertahankan anak walaupun menagih dadah.
“Bagaimanapun, ia hanya segelintir saja kerana majoriti memberi maklum balas menyokong terhadap pelaksanaan pelan strategi baru polis Kelantan.
“Sejak pelaksanaan pelan strategi baharu yang mewajibkan kesemua 56 Ketua Polis Balai (OCS) menangkap sekurang-kurangnya seorang penagih dadah setiap hari pada 15 Julai lalu, tangkapan penagih semakin bertambah dan maklum balas yang diterima juga sangat baik.
“Ketika saya jumpa dengan masyarakat, ramai yang lega apabila jenayah seperti pecah rumah dan kecurian sudah berkurangan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Menurutnya, walaupun keadaan lokap penuh tetapi pihaknya masih mampu mengurus dan keadaan masih terkawal.
Katanya, pelan strategi baharu itu bukan hanya terpakai kepada penagih tetapi terhadap pengedar dan tokan juga.
“Alhamdulillah, sudah tiada berlaku kemasukan dadah besar-besaran ke Kelantan kebelakangan ini,” katanya.
Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, polis Kelantan melupuskan sebanyak 6,536 dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai kira-kira RM1.104 juta.
Menurutnya, kesemua dadah itu sudah selesai perbicaraan membabitkan kes dari 2008 hingga 2024 dan diperintahkan oleh mahkamah untuk dilupuskan mengikut proses pelupusan barang yang ditetapkan.
“Dadah yang bersifat pepejal adalah seberat 39.41 kilogram, manakala cecair adalah 2,534.047 liter dan jumlah anggaran nilai keseluruhan mengikut harga pasaran ialah RM1.104 juta.
“Pelupusan barang kes ini akan dijalankan esok di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Kualiti Alam Sdn Bhd di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
