KOTA BHARU – Semua 56 ketua balai polis di Kelantan setakat ini tidak mengalami tekanan susulan arahan yang mewajibkan tangkapan seorang penagih dadah setiap hari selama tiga bulan bermula 15 Julai lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya belum menerima sebarang rungutan daripada ketua balai polis seluruh negeri selepas arahan tersebut dikuatkuasakan.
Katanya, ketua-ketua balai polis dilihat mampu menyahut cabaran yang ditetapkan tanpa menjejaskan pengurusan tugasan.
“Saya tidak nampak ia satu tekanan. Setakat ini, belum ada lagi saya terima (laporan) ada yang masuk hospital kerana darah tinggi atau tidak berselera makan.
“Maknanya masih dalam kawalan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pelupusan Barangan Kes Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, setiap ketua balai polis di negeri ini diwajibkan menangkap seorang penagih dadah setiap hari selama tiga bulan bermula 15 Julai lalu dan bakal berdepan tindakan sekiranya gagal berbuat demikian.
Mohd. Yusoff berkata, ketetapan itu melibatkan 56 ketua polis balai seluruh negeri ini kerana mereka mempunyai sektor-sektor tertentu yang dekat dengan masyarakat sekali gus memudahkan proses tangkapan.
Katanya, misi itu akan berakhir Oktober ini sebelum semakan mengenai keberkesanan kaedah tersebut dikaji semula.
“Kita mewajibkan ketua balai tangkap seorang penagih dadah setiap hari. Di peringkat ketua polis daerah, fokus kepada tangkapan pengedar dadah, manakala Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (kontinjen) pula menangkap tokan besar atau sindiket.
“Kapasiti lokap bagi 56 buah balai polis di Kelantan cukup untuk menampung tangkapan seorang penagih dadah setiap hari yang bermula 15 Julai lalu. Buat masa ini, tiada isu berbangkit mengenai kepadatan lokap selepas arahan tersebut dilaksanakan,” ujarnya.
Kredit sumber: KOSMO! ONLINE
