LUMUT, 24 Ogos 2026 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan dua vesel nelayan tempatan yang disyaki menjalankan kegiatan menangkap ikan tanpa lesen sah serta menggunakan peralatan menangkap ikan yang dilarang dalam dua operasi berasingan di perairan negeri itu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel pertama ditahan kira-kira jam 2.12 pagi semalam ketika berada sekitar 3.9 batu nautika barat laut Batu Tanjung Hantu, Perak.
Menurutnya, penahanan itu dilakukan kapal Maritim Malaysia ketika menjalankan rondaan dan penguatkuasaan menerusi Op SAYONG, Op PINTAS, Op KHAS TANJUNG 2 dan Op TIRIS di perairan Perak.
“Pemeriksaan mendapati dua kru termasuk tekong warga Malaysia berusia 24 dan 45 tahun berada di atas vesel terbabit.
“Siasatan awal mendapati vesel itu dipercayai melanggar beberapa syarat lesen perikanan di bawah Akta Perikanan 1985, termasuk tidak memiliki lesen perikanan yang sah serta menggunakan dan memiliki peralatan menangkap ikan yang dilarang, iaitu bubu naga,” katanya.
Beliau berkata, kesemua kru termasuk tekong ditahan manakala 19 unit bubu naga turut dirampas dalam operasi berkenaan.
Vesel dan peralatan terbabit kemudian diiringi ke Jeti Perikanan Kampung Acheh, Perak sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Dalam kejadian berasingan, sebuah lagi vesel nelayan tempatan ditahan kira-kira jam 2.58 pagi Sabtu lalu di kedudukan sekitar 3.4 batu nautika barat laut Batu Tanjung Hantu.
Mohamad Shukri berkata, pemeriksaan terhadap vesel kedua mendapati tiga kru termasuk tekong warga Malaysia berusia antara 38 hingga 42 tahun berada di atasnya.
“Pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai lesen perikanan yang sah selain menggunakan dan memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan, iaitu bubu naga,” katanya.
Dalam operasi itu, kesemua kru termasuk tekong ditahan dan sebanyak 87 unit bubu naga dirampas.
Vesel terbabit kemudiannya dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan dan siasatan selanjutnya.
Secara keseluruhan, kedua-dua operasi berkenaan membawa kepada penahanan lima kru termasuk dua tekong serta rampasan 106 unit bubu naga.
Kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan Akta Perikanan 1985. – DAKWAT RAKYAT POST
