TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencabul teman wanitanya ketika berada dalam sebuah kereta di kawasan Megah Jaya, di sini, semalam.
Suspek berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 12.01 tengah malam selepas menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7.43 malam.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menyentuh beberapa bahagian tubuh mangsa secara paksa setiap kali mereka bertemu.
“Suspek juga didakwa pernah memaksa mangsa melakukan perbuatan tidak senonoh, namun ditolak wanita terbabit.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Rosdi berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan cabul atau gangguan seksual dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga serta segera melaporkan kepada polis sekiranya berlaku sebarang kejadian mencurigakan.
Kredit sumber: Utusan Borneo Online
