PERKEMBANGAN kecerdasan buatan (AI) kini mula membawa perubahan dalam dunia keagamaan apabila teknologi robotik digunakan untuk menampilkan figura sami yang mampu berinteraksi dengan manusia serta menyampaikan ajaran agama.
Fenomena itu semakin mendapat perhatian dunia selepas kumpulan penyelidik di Universiti Kyoto, Jepun memperkenalkan Buddharoid iaitu robot sami berkuasa AI yang direka untuk menyampaikan ajaran Buddha sekitar Februari lalu.
Pengenalan Buddharoid menerusi projek yang diketuai oleh Profesor Seiji Kumagai daripada Institute for the Future of Human Society itu menjadi lonjakan besar dalam integrasi AI dengan amalan keagamaan.
Lapor Eurasia Review, robot berkenaan dilatih menggunakan koleksi teks dan kitab suci Buddha berusia ratusan tahun dengan mengenakan jubah seperti seorang sami untuk memberikan impak psikologi lebih realistik.
“Pergerakan robot humanoid itu boleh berjalan perlahan, tunduk hormat dan merapatkan tangan dalam posisi berdoa (gassho).
“Perkara itu dikatakan bakal menjadi penyelesaian kerana Jepun dikatakan sedang berhadapan dengan masalah kekurangan sami dan populasi penuaan yang kritikal,” katanya.
Korea Selatan turut mengikut jejak langkah Jepun memperkenalkan ‘Gabi’ yang dipercayai menjadi robot pertama di negara itu secara rasmi selang beberapa bulan kemudian.
Namun, penggunaan teknologi dalam penyebaran agama sebenarnya bukan perkara baharu kerana China terlebih dahulu memperkenalkan robot sami dikuasakan AI bernama ‘Xian’er’ pada 2016.
Kecanggihan AI kini digunakan untuk menerjemahkan kitab suci, mendigitalkan manuskrip lama, menganalisis koleksi teks dalam jumlah besar serta membangunkan pangkalan data dalam talian yang membolehkan pengetahuan agama diakses dengan lebih mudah.
Teknologi itu juga dilihat sebagai medium untuk mendekati generasi muda yang semakin terbiasa dengan telefon pintar, permainan digital dan pembantu AI.
Robot sami, chatbot serta platform dalam talian dilihat berpotensi menjadikan ajaran agama lebih mudah didekati, khususnya dalam masyarakat yang berdepan perubahan demografi dan populasi penganut semakin berusia.
Bagaimanapun, kemunculan robot berkenaan mencetuskan persoalan besar mengenai sejauh mana AI mampu mengambil alih tugas pemimpin agama pada masa hadapan.
Kata pakar sejarah dan pengaji agama di Universiti Kebangsaan Singapura, Jack Meng Tat Chia, robot tidak mempunyai tahap keimanan menyamai ketulusan hati.
“Robot tidak boleh menggantikan iman dan agama kerana mereka tidak mempunyai jiwa, emosi atau kesedaran sebenar kerana agama memerlukan pengalaman hidup manusia yang tulen,” katanya.
Robot mungkin boleh tunduk di hadapan patung Buddha kerana diprogramkan untuk melakukannya tetapi tidak benar-benar mengalami ketenangan atau konflik moral ketika berdepan sesuatu dilema.
Sementara itu, kumpulan pakar juga berpendapat, hubungan manusia menjadi aspek penting dalam kehidupan beragama kerana seorang sami tidak hanya memberikan jawapan kepada persoalan keagamaan, tetapi turut menjadi tempat untuk mendapatkan sokongan ketika berdepan kesedihan, kehilangan atau kesukaran hidup.
“Kecanggihan AI mempunyai batas tertentu, khususnya apabila melibatkan pengalaman spiritual, kesedaran, kesedaran moral atau pengalaman kerohanian sebenar.
“Biarpun AI boleh menghasilkan kata-kata yang kelihatan menenangkan dan mensimulasikan empati tetapi teknologi itu tidak benar-benar merasai kesakitan, kasih sayang atau kesedihan yang dialami manusia,” katanya.
Jadi, pengaruh AI dalam robotik sami dianggap lebih sesuai sebagai alat sokongan kepada penyebaran ilmu agama dan bukannya pengganti kepada manusia.
Kredit sumber: Kosmo! Online
