GUA MUSANG – Selepas 10 tahun hidup tanpa sijil kelahiran, seorang kanak-kanak Orang Asli kini mempunyai harapan untuk mendapat pendidikan seperti kanak-kanak lain selepas urusan pendaftaran dokumen itu dibantu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) sempena Kembara Rakyat Nenggiri di Pos Gob, di sini.
Ibunya, Noriah Sedan, 38, berkata, urusan pendaftaran kelahiran Matius Along, 10, yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu tertangguh sejak dilahirkan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai akibat masalah keluarga dan perpisahannya dengan suami pertama.
Katanya, kedudukan Pos Gob yang terletak jauh dari pusat bandar dan perlu melalui jalan tanah kira-kira 90 kilometer turut menyukarkan pergerakan untuk menyelesaikan urusan berkenaan.
“Selepas melahirkan Matius di HSIP, saya bersama suami terus pulang ke Pos Gob dan tidak sempat mendaftarkan kelahirannya.
“Selepas itu, saya pula menghadapi pelbagai masalah keluarga bersama suami terdahulu sehingga urusan pendaftaran kelahiran tidak dapat dilakukan,” katanya ketika ditemui di Pos Gob di sini hari ini.
Noriah berkata, ketiadaan sijil kelahiran menyebabkan Matius tidak dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain seusianya.
Katanya, dia mengambil kesempatan menyelesaikan urusan itu selepas mengetahui JPN hadir ke Pos Gob menerusi Program Mekar.
Kredit sumber: KOSMO! ONLINE/Disiarkan pada 25 Ogos 2026
