KOTA KINABALU, 25 Ogos 2026 – Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman menyeru seluruh rakyat Sabah menjadikan sambutan Maulidur Rasul SAW sebagai wadah untuk menyemarakkan kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW dengan menghayati akhlak dan teladan Baginda dalam kehidupan seharian.
Menerusi hantaran di Facebook, Tun Musa berkata kecintaan terhadap Rasulullah SAW tidak seharusnya sekadar dizahirkan melalui ungkapan atau sambutan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui penghayatan terhadap ajaran, akhlak dan contoh teladan yang ditunjukkan Baginda.
Menurut beliau, sifat sabar, adil, bijaksana, penyayang dan ihsan yang menjadi teladan Rasulullah SAW perlu terus dipupuk dalam kehidupan bermasyarakat.
“Dalam menghadapi perbezaan, Baginda mengutamakan kebijaksanaan, manakala dalam hubungan sesama manusia, Baginda sentiasa mendahulukan sifat kasih sayang dan ihsan,” katanya dalam hantaran berkenaan.
Tun Musa turut menekankan pentingnya rakyat bersama-sama mempertahankan keharmonian Sabah yang dihuni masyarakat daripada pelbagai kaum, agama dan budaya.
Katanya, sikap saling menghormati, memahami serta bekerjasama perlu terus diamalkan bagi memastikan hubungan antara masyarakat kekal kukuh.
Beliau pada masa sama mengingatkan supaya perkembangan teknologi dimanfaatkan untuk menyampaikan ilmu dan perkara yang memberi kebaikan kepada masyarakat, bukannya digunakan bagi menyebarkan fitnah, kebencian atau kandungan yang boleh menggugat keharmonian.
“Perbezaan pandangan hendaklah diurus dengan hikmah, perselisihan jangan dibiarkan menjadi permusuhan,” katanya.
Dalam hantaran sama, Tun Musa mengajak umat Islam memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, mendalami sirah Baginda dan berusaha menjadikan akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan dalam kehidupan.
Beliau berkata penghayatan terhadap sirah dan akhlak Rasulullah SAW penting dalam usaha memperkukuh keamanan, kesejahteraan serta perpaduan rakyat di Sabah.
Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Arif; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin serta Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih.
Sebanyak 96 kontinjen membabitkan kira-kira 10,000 peserta turut mengambil bahagian dalam perarakan Maulidur Rasul pada sebelah pagi. – DAKWAT RAKYAT POST
