Bangkok: Bekas raja dadah, Laota Saenlee, 86, dibebaskan dari Penjara Pusat Bang Kwang selepas menerima pengampunan diraja menerusi dekri pengampunan yang dikeluarkan sempena ulang tahun keputeraan ke-4 Seri Paduka Baginda Permaisuri, lapor Bangkok Post.
Pembebasannya dilaporkan menerusi halaman Facebook Penjara Pusat Bang Kwang yang memuat naik beberapa gambar majlis berkenaan pada Jumaat.
Majlis bagi banduan yang menerima pengampunan sempena ulang tahun keputeraan ke-48 Permaisuri itu dipengerusikan oleh Pendakwa Raya Wilayah Nonthaburi, Achara Sricham.
Bekas ketua pentadbiran subdaerah Tha Ton, daerah Mae Ai, Chiang Mai itu menjalani hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah atas pertuduhan menyeludup dadah dan memiliki senjata api secara haram susulan penangkapannya pada Oktober 2016.
Penangkapan itu dilakukan menerusi operasi penyamaran yang menyaksikan polis merampas kira-kira 20 kilogram syabu serta senjata api gred tentera.
Aset bernilai lebih satu bilion baht (kira-kira RM123.8 juta) yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan turut dirampas.
Laota sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pembantu kepada mendiang raja dadah terkenal, Khun Sa.
Kredit sumber: Harian Metro
