PENAMPANG: Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki menyamar sebagai pegawai agensi penguat kuasa sebelum cuba mendapatkan RM1,500 daripada seorang warga asing dalam kejadian di Kampung Koidupan Sugud, di sini kelmarin.
Berdasarkan kenyataan media yang dimuat naik Polis Daerah Penampang menerusi Facebook, kedua-dua suspek berusia 19 dan 28 tahun itu ditahan selepas disyaki melakukan pemerasan serta menyamar sebagai penjawat awam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.10 tengah malam apabila kedua-dua suspek menghampiri seorang lelaki warga asing dan mengaku sebagai anggota agensi penguat kuasa.
Menurutnya, suspek kemudian meminta mangsa menunjukkan dokumen pengenalan diri sebelum mendakwa lelaki berkenaan melakukan kesalahan kerana gagal mengemukakan pasport.
“Kedua-dua suspek dipercayai meminta bayaran RM1,500 daripada mangsa dengan alasan untuk menyelesaikan kesalahan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 28 Ogos 2026.
Bagaimanapun, tindakan suspek mula mencurigakan apabila mereka diminta mengemukakan kad kuasa sebagai bukti bahawa mereka benar-benar pegawai penguat kuasa.
Sammy berkata, kedua-dua suspek kemudiannya cuba melarikan diri dari kawasan kampung berkenaan.
Bagaimanapun, usaha mereka gagal selepas ditahan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan, polis turut merampas beberapa helai pakaian yang menyerupai seragam agensi penguat kuasa dan dipercayai dipakai suspek ketika menjalankan perbuatan tersebut,” katanya.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan pemerasan serta menyamar sebagai penjawat awam.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Manakala Seksyen 170 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan menyamar sebagai penjawat awam.
Sehubungan itu, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai individu yang mendakwa diri mereka sebagai pegawai penguat kuasa, terutama apabila diminta menyerahkan wang atau membuat bayaran bagi menyelesaikan sesuatu kesalahan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan segera menghubungi polis sekiranya berdepan individu yang mencurigakan atau disyaki menyalahgunakan identiti sebagai pegawai penguat kuasa. – DAKWAT RAKYAT POST
