PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus mengambil tindakan untuk membersihkan Tabung Haji (TH) susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH yang mendedahkan kerugian pelaburan berbilion ringgit disebabkan wujud transaksi mencurigakan.
Dalam tindakan terbaharu semalam, SPRM menahan tiga individu penting termasuk bekas Pengerusi TH yang juga seorang ahli politik bagi membantu siasatan.
Ia menjadikan sembilan individu setakat ini telah ditahan SPRM bagi membantu siasatan susulan laporan RCI TH berkenaan.
Semalam, bekas Pengerusi TH berusia 60-an itu ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Selain itu, seorang bekas Ketua Setiausaha (KSU) Perbendaharaan turut direman tujuh hari berkaitan kes sama.
SPRM turut menyambung tahanan reman selama empat hari lagi hingga 31 Ogos ini bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH yang sebelum ini direman tujuh hari bermula 21 Ogos lalu.
Perintah reman bekas Pengerusi TH itu bermula semalam hingga 2 September, dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, semalam.
Peguambela, Datuk Abu Bakar Isa Rahmat ketika ditemui memaklumkan anak guamnya yang juga bekas Pengerusi TH disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, bekas KSU Perbendaharaan yang turut direman selama tujuh hari bermula semalam diwakili peguam, Datuk Seri K Kumaraendran dan Lavinia Kumaraendran.
Kedua-dua individu terbabit kemudiannya dilihat meninggalkan kompleks mahkamah sekitar pukul 2.30 petang dengan menaiki van SPRM.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilaporkan berkata, SPRM setakat ini telah membuka 14 kertas siasatan berkaitan isu dibangkitkan dalam laporan RCI TH.
Beliau berkata, siasatan setakat ini turut menyaksikan 28 premis telah diperiksa dan digeledah, manakala 115 saksi telah dipanggil untuk ditemu bual serta dirakam percakapan.
Menurut SPRM, siasatan masih diteruskan terhadap enam isu yang dibangkitkan dalam Laporan RCI berkenaan, selain beberapa isu lain yang dikenal pasti sepanjang siasatan.
Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan yang lalu dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.
Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH daripada 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.
RCI berkenaan mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.
“Antara tindakan yang sedang dijalankan termasuk jejak kewangan membabitkan dokumen dan penyata kewangan daripada institusi kewangan selain penelitian terhadap dokumen kontrak serta dokumen pembayaran,” katanya.
“SPRM turut meneliti aspek kelemahan tatakelola yang dipercayai menjadi antara faktor berlakunya isu yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan,” katanya.
Kredit sumber: UTUSAN MALAYSIA
