KOTA KINABALU: Sambutan Hari Sabah pada 31 Ogos perlu dijadikan ruang untuk rakyat menghayati sejarah, identiti serta kecintaan terhadap negeri ini, selain memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, semangat kebersamaan itu amat penting dalam memastikan keharmonian negeri terus dipelihara dan menjadi asas kepada pembangunan Sabah pada masa depan.
Menerusi hantaran di Facebook beliau, Hajiji turut menekankan peranan golongan belia sebagai tonggak kepada masa depan Sabah.
Menurutnya, generasi muda perlu terus memainkan peranan dalam mempertahankan keharmonian, memperkukuh perpaduan serta membawa semangat dan aspirasi Sabah ke arah yang lebih baik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua belia yang telah mengharumkan nama Sabah menerusi pelbagai sumbangan dan pencapaian.
“Terima kasih kepada semua belia yang telah mengharumkan nama Sabah dan teruskanlah perjuangan untuk berbakti, berkarya dan berkhidmat untuk negeri tercinta,” katanya.
Hajiji berkata, semangat yang dizahirkan menerusi sambutan Hari Sabah tidak seharusnya berakhir selepas acara berkenaan selesai, sebaliknya perlu terus diterapkan dalam kehidupan setiap anak Sabah, khususnya golongan muda.
Katanya, generasi muda mempunyai tanggungjawab besar untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri serta membentuk masa depan Sabah yang lebih maju, makmur dan sejahtera.
Beliau berharap semangat perpaduan, kecintaan terhadap negeri dan kesediaan untuk berbakti akan terus subur dalam kalangan rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang.
“Semangat yang dizahirkan pada sambutan ini akan terus hidup dalam diri setiap anak Sabah khususnya generasi muda untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri dan membina masa depan Sabah yang lebih maju, makmur dan sejahtera,” katanya.
Menurut beliau, kekuatan Sabah terletak pada semangat kebersamaan rakyatnya yang mampu hidup dalam kepelbagaian, sekali gus menjadikan perpaduan sebagai asas penting untuk negeri terus bergerak ke hadapan.
Sambutan Hari Sabah pada 31 Ogos bukan sahaja menjadi medan memperingati sejarah negeri, tetapi turut membawa mesej supaya generasi hari ini meneruskan usaha membina Sabah yang kukuh, bersatu dan mempunyai masa depan yang lebih baik. – DAKWAT RAKYAT POST
