LAHAD DATU: Tiga lelaki dewasa maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter di Jalan Hutan Simpan Bagahak, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.38 malam ketika Proton Aeroback berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas dan terjunam ke dalam gaung.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Pasukan bomba tiba kira-kira jam 8.16 malam dan mendapati tiga mangsa lelaki dewasa berada dalam kenderaan berkenaan.
Komander Operasi, PB Abdul Gani Abdul Shani berkata, pemeriksaan mendapati ketiga-tiga mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat ketiga-tiga mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Seorang lagi mangsa, seorang lelaki dewasa, mengalami kecederaan dalam kejadian itu sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk menerima rawatan.
Operasi menyelamat turut mendapat kerjasama PDRM dan KKM bersama pasukan BBP Lahad Datu.
Selepas pemeriksaan dilakukan dan keadaan di lokasi disahkan selamat serta tidak lagi mendatangkan risiko, operasi ditamatkan pada jam 8.45 malam.
Bagaimanapun, identiti kesemua mangsa masih belum diperoleh setakat ini.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa. – DAKWAT RAKYAT POST
