SANDAKAN, 2 September 2026 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menggagalkan kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai dalam serbuan di Jeti Kampung Kombo, Jalan Leila, di sini, awal pagi tadi.
Operasi menerusi PPM Sandakan itu dijalankan hasil maklumat risikan sebelum pasukan penguat kuasa mengesan beberapa individu sedang memindahkan barangan dari sebuah bot ke kawasan jeti kira-kira jam 4.15 pagi.
Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran polis, bot terbabit terus memecut meninggalkan kawasan berkenaan, manakala individu yang berada di jeti bertindak melarikan diri.
Pemeriksaan lanjut di sekitar jeti menemukan sejumlah rokok pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk dari Filipina.
Keseluruhannya, sebanyak 97,800 batang rokok tidak bercukai dirampas, membabitkan 40,000 batang rokok Oakley Original, 10,000 batang Oakley Original Menthol, 16,000 batang L3 Menthol dan 31,800 batang L3 Black Menthol.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM131,700.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Dalam perkembangan berkaitan, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 57 kes di bawah Akta Kastam 1967 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM8,013,942.61.
Seramai 39 individu turut ditahan bagi kes-kes berkenaan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah berkata pihaknya akan terus mempergiatkan aktiviti risikan, rondaan dan operasi penguatkuasaan, terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan serta lokasi pemunggahan barangan seludup.
Menurutnya, usaha berterusan itu penting bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat dibendung dan tidak terus berleluasa.
Beliau turut menegaskan PPM Wilayah 4 Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan, selain akan memperkukuh kawalan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara. – DAKWAT RAKYAT POST
