TAWAU, 3 September 2026 – Penggiat industri kreatif diingatkan supaya tidak menjadikan keuntungan semata-mata sebagai keutamaan sehingga mengabaikan nilai moral, sensitiviti agama dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, aspek komersial sememangnya penting dalam pembangunan industri kreatif, namun ia perlu diseimbangkan dengan nilai serta tanggungjawab sosial ketika menghasilkan sesuatu karya.
Menurutnya, perkara berkenaan perlu diberi perhatian susulan kontroversi drama Madu Atau Racun yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
“Jabatan Hal Ehwal Agama tidak pernah menyokong kandungan yang tidak bermoral seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Rakan Sulh Komuniti (RSK) Siri Kedua 2026 dan Ops Nafkah di Tawau, hari ini.
Marhamah berkata, pihaknya turut memandang serius keadaan apabila beberapa kandungan daripada episod terdahulu drama berkenaan masih boleh diakses melalui media sosial.
Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama agensi berkaitan perlu meneliti tindakan susulan yang sesuai bagi menghalang penyebaran kandungan yang disifatkan melampaui batas.
“Kita perlu melihat langkah-langkah selanjutnya supaya perkara seperti ini tidak berlaku lagi selepas ini dan bagaimana episod yang masih boleh ditonton itu dapat dicegah serta dikekang.
“Selama ini kita hanya menekankan isu enam episod berbaki yang tidak akan ditayangkan, tetapi rupa-rupanya ada beberapa episod yang masih ditayangkan dan boleh diakses masyarakat.
“Ini juga menjadi kerisauan kita dan diharap ada tindakan sewajarnya serta tindakan tegas boleh diambil,” katanya.
Kontroversi membabitkan drama Madu Atau Racun sebelum ini mendapat perhatian selepas kandungannya mencetuskan reaksi serta kegusaran masyarakat.
Dalam perkembangan terbaharu, iQIYI semalam bersetuju menurunkan sementara enam episod drama berkenaan yang telah disiarkan, manakala enam episod yang masih berbaki ditangguhkan bagi membolehkan keseluruhan 12 episod disunting dan dinilai semula.
Keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat khas yang membabitkan iQIYI, syarikat produksi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) atas arahan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Marhamah berkata, kontroversi tersebut wajar dijadikan pengajaran oleh penggiat industri kreatif supaya penghasilan karya tidak hanya tertumpu kepada aspek keuntungan.
Sebaliknya, katanya, setiap karya perlu mengambil kira nilai moral, sensitiviti masyarakat serta kesan kandungan terhadap penonton.
Beliau turut menegaskan bahawa kebebasan dalam berkarya perlu disertai tanggungjawab agar karya yang dihasilkan tidak menjejaskan nilai moral dan menyentuh sensitiviti agama serta masyarakat. – DAKWAT RAKYAT POST
