JELI: Serbuan terhadap sebuah kilang kayu di Kampung Wakaf Zain, Ayer Lanas, di sini, petang semalam membawa kepada penahanan tiga lelaki selain rampasan pelbagai peralatan dan hasil kayu bernilai keseluruhan RM1,597,600.
Serbuan pada 3.45 petang menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu dijalankan Pasukan Risik Batalion 8, Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa.
Batalion 8 PGA dalam kenyataan media berkata, ketiga suspek berusia 35 hingga 53 tahun itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati pihak kilang gagal mengemukakan permit pemindahan kayu serta lesen kebenaran pengoperasian kilang daripada Jabatan Perhutanan.
“Susulan itu, pihak Jabatan Perhutanan turut hadir ke lokasi dan mengesahkan kayu yang berada di kawasan kilang berkenaan dipercayai tidak bercukai.
“Antara yang dirampas ialah sebuah jentera berat, sebuah mesin pengasah mata gergaji, 301 batang kayu bulat pelbagai saiz dan spesies serta 1,450 batang kayu siap,” katanya.
Menurutnya, hasil soal siasat, seorang daripada suspek mengaku sudah menguruskan operasi kilang berkenaan selama 17 tahun dan menerima upah RM4,500 sebulan sebagai pengurus kilang selain bertanggungjawab mengendalikan jentera berat.
“Suspek turut memaklumkan bahawa dia bekerja dengan pemilik kilang yang menetap di Machang,” katanya.
Kesemua tangkapan bersama barang kes itu kemudiannya diserah kepada Jabatan Perhutanan Jajahan Tanah Merah untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
Kredit sumber: Buletin TV3
