TAWAU, 3 September 2026 – Kerajaan sedang memperkukuh mekanisme penguatkuasaan perintah nafkah yang diputuskan Mahkamah Syariah bagi memastikan hak wanita dan anak yang layak menerima nafkah tidak terhenti sekadar pada keputusan mahkamah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama agensi berkaitan kini meneliti pelbagai kekangan yang boleh menjejaskan pelaksanaan perintah nafkah.
Menurutnya, beberapa kaedah penguatkuasaan telah tersedia, namun aspek pelaksanaan termasuk kerjasama antara agensi perlu terus diperkemaskan bagi memastikan keputusan mahkamah dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Langkah ke arah itu memang sudah ada dan sentiasa diusahakan. Cuma kita masih menilai perkara yang menjadi kekangan untuk memastikan penghakiman ini tidak sekadar di atas kertas.
“Sebagai contoh, jika lelaki berkenaan bekerja dengan sesebuah syarikat, terdapat mekanisme seperti ‘attachment of earnings’ atau potongan pendapatan, tetapi pelaksanaannya perlu melalui proses dan penelitian yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Rakan Sulh Komuniti (RSK) Siri 2 dan Ops Nafkah Tahun 2026 di Borneo Royal Hotel, di sini, hari ini.
Marhamah berkata, kerajaan menerusi JKSM dan agensi berkaitan turut menyediakan saluran bantuan kepada penerima nafkah yang berdepan kegagalan mendapatkan bayaran daripada bekas suami.
Katanya, antara bantuan yang disediakan ialah bayaran pendahuluan kepada penerima yang menghadapi kesukaran kewangan susulan kegagalan menerima nafkah, dengan jumlah keseluruhan bantuan yang telah disalurkan mencecah jutaan ringgit.
“Bagi mereka yang gagal menerima nafkah daripada bekas suami, sebenarnya ada saluran untuk membuat aduan kepada agensi berkaitan dan bantuan juga disediakan.
“Jumlah bantuan yang sudah dikeluarkan adalah jutaan ringgit dan ia diberikan sebagai pendahuluan kepada mereka yang tidak menerima nafkah,” katanya.
Dalam pada itu, Marhamah berkata, pelaksanaan Ops Nafkah penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya wanita, berhubung hak dan tanggungjawab berkaitan nafkah.
Menurutnya, masyarakat juga perlu mengetahui saluran yang tersedia untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kegagalan dalam pembayaran nafkah.
Beliau berkata, pendekatan turun padang yang dilaksanakan menerusi program berkenaan membolehkan agensi kerajaan berinteraksi secara terus dengan masyarakat selain memberi penerangan mengenai hak serta bentuk bantuan yang boleh diperoleh.
“Program ini sangat penting kerana kita mahu masyarakat melihat mahkamah sebagai institusi yang dekat dengan mereka dan bukan sesuatu yang perlu ditakuti.
“Melalui RSK, kita cuba menyelesaikan konflik dalam komuniti terlebih dahulu sebelum ia dibawa ke mahkamah, manakala Ops Nafkah memberi pendedahan mengenai hak dan tanggungjawab berkaitan nafkah,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kebajikan golongan orang kurang upaya (OKU) turut diberi perhatian bagi memastikan mereka mendapat akses kepada maklumat berkaitan hak serta saluran bantuan yang disediakan.
Katanya, kerjasama dengan agensi seperti Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah dan pihak berkaitan turut membolehkan bantuan berbentuk barangan keperluan dan kewangan disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
“Apabila agensi kerajaan turun ke lapangan dan berhubung secara langsung dengan masyarakat, mereka dapat memahami permasalahan yang dihadapi dan memastikan masyarakat tidak berasa terpinggir.
“Inisiatif seperti ini perlu diperluas supaya masyarakat tahu mereka didengar dan ada saluran untuk mendapatkan bantuan,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
