KUALA LUMPUR, 3 September 2026 – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menafikan dakwaan bahawa kementerian itu telah berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan, sambil menjelaskan bahawa keadaan sebenar perlu dilihat berdasarkan keseluruhan kedudukan komitmen projek, peruntukan dan pembayaran.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri KKDW, Fadzmel Fadzil, berkata kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) berkaitan peruntukan kepada KKDW sebelum ini disifatkan tidak tepat kerana tidak mengambil kira keseluruhan situasi yang berlaku.
Menurutnya, penggunaan istilah ‘berbelanja melebihi peruntukan’ boleh menimbulkan kekeliruan kerana tatacara kewangan kerajaan tidak membenarkan kementerian membuat perbelanjaan melampaui jumlah yang telah diluluskan.
Katanya, setiap permohonan peruntukan perlu dikemukakan dan dibentangkan kepada MOF, manakala urusan perbelanjaan dikawal menerusi sistem kewangan kerajaan, termasuk Integrated Government Financial Management Accounting System (iGFMAS).
“Bagi projek dan program pembangunan pula, kelulusan Kementerian Ekonomi perlu diperoleh terlebih dahulu.
“Jika berlaku perbelanjaan yang tidak teratur atau melebihi peruntukan, perkara berkenaan tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan. Sistem kewangan kerajaan juga tidak membenarkan sesuatu projek atau program dibayar tanpa butiran serta peruntukan yang diluluskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadzmel berkata, penjelasan MOF juga tidak mengambil kira data bagi 2019 hingga 2021 yang penting untuk memahami kedudukan sebenar komitmen projek, peruntukan dan pembayaran dalam tempoh berkenaan.
Katanya, tempoh pandemik COVID-19 memberi kesan kepada pelaksanaan sejumlah projek, namun Surat Setuju Terima (SST) bagi projek tertentu sudah dikeluarkan dan komitmen kontrak telah wujud sejak 2019 hingga 2021.
Apabila pelaksanaan projek kembali diteruskan, tuntutan bayaran daripada kontraktor kemudiannya dibuat pada tahun-tahun berikutnya mengikut tahap kemajuan kerja serta obligasi kontrak yang telah dipersetujui.
“Projek yang sudah dimulakan tidak boleh dihentikan begitu sahaja apabila peruntukan tahunan hampir digunakan sepenuhnya,” katanya.
Dalam usaha mengawal kedudukan kewangan, KKDW mengambil beberapa langkah termasuk melakukan penyusunan semula peruntukan dalaman, mengehadkan komitmen baharu dan membatalkan tender tertentu.
Fadzmel berkata, KKDW turut mengemukakan permohonan rasmi kepada MOF pada suku kedua tahun ini bagi mendapatkan peruntukan untuk menampung keperluan pembayaran tertangguh membabitkan projek yang masih berjalan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa RM300 juta yang diluluskan kepada KKDW bukan merupakan peruntukan tambahan baharu seperti yang dilaporkan.
Sebaliknya, jumlah berkenaan adalah peruntukan yang diperlukan bagi memenuhi komitmen dan tunggakan pembayaran yang berpunca daripada tahun-tahun sebelumnya.
Menurutnya, peruntukan tersebut disediakan melalui Surat Kuasa Berbelanja (SKB) yang dikeluarkan pada petang 1 September 2026, selepas perkara itu sekali lagi dibangkitkan oleh Timbalan Perdana Menteri pada pagi hari yang sama.
“Walaupun kelulusan dan penyaluran RM300 juta itu amat dihargai, jumlah tersebut masih belum mencukupi bagi menyelesaikan keseluruhan keperluan pembayaran yang sedang dihadapi,” katanya.
Beliau berkata, pelarasan seterusnya hanya akan dilaksanakan pada penghujung 2026 dengan mengambil kira penjimatan atau lebihan baki peruntukan kementerian.
Fadzmel turut memaklumkan bahawa beberapa siri konsultasi dan perbincangan telah diadakan antara KKDW, MOF serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membincangkan perkara berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat sebahagian isu yang belum mencapai penyelesaian menyeluruh.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembayaran peruntukan projek tidak dibuat secara langsung oleh KKDW kepada kontraktor yang melaksanakan kerja.
Sebaliknya, peruntukan berkenaan disalurkan kepada JKR atau agensi berkaitan yang bertanggungjawab menyelia pelaksanaan projek.
“Perkara ini tidak sepatutnya menjadi pertikaian antara kementerian. Keutamaan sekarang ialah mencari jalan penyelesaian segera terhadap komitmen pembayaran yang telah pun wujud,” katanya.
KKDW, katanya, akan terus bekerjasama dengan MOF bagi mendapatkan penyelesaian menyeluruh agar semua komitmen kerajaan dapat diselesaikan dengan teratur dan baik. – DAKWAT RAKYAT POST
