PUTRAJAYA: Taraf kewarganegaraan kepada warga asing hanya boleh diberikan sekiranya mereka melepaskan kewarganegaraan negara asal bagi memastikan tidak berlaku pemilikan dwi kewarganegaraan.
Perkara itu termasuk mana-mana warga asing yang memohon kewarganegaraan naturalisasi khususnya mereka yang memohon bekerja di negara ini.
Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, justeru itu pemberian kewarganegaraan melalui penaturalisasian perlu dibuat secara teratur bagi memastikan tiada pihak memiliki dwi kewarganegaraan.
Beliau berkata, perkara itu bukan sekadar isu teknikal dalam proses dokumentasi, sebaliknya memerlukan mekanisme yang lebih jelas bagi memastikan syarat berkaitan pelepasan kewarganegaraan asal dilaksanakan dengan teratur.
Katanya, semakan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti sebarang kelemahan dalam prosedur operasi standard (SOP), sistem semakan atau pelaksanaan proses pemberian kewarganegaraan.
Beliau berkata, Malaysia tidak mengiktiraf dwi kewarganegaraan dan proses pemberian kewarganegaraan perlu mengambil kira syarat berkaitan pelepasan kewarganegaraan asal.
“Macam mana ada dua kewarganegaraan? Yang itu tak dibuat. Kenapa pegawai itu ‘overlook’ benda itu?
“Selagi maknanya dia tak buang kewarganegaraan asal, kita tak boleh bagi warganegara. Buatlah proses macam mana pun kerana itu polisi,” tegasnya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Pada 10 Julai lalu, EAIC mengesyorkan Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Dalam Negeri menyemak semula keseluruhan proses serta dokumen kewarganegaraan melalui penaturalisasian yang diberikan kepada tujuh pemain naturalisasi bola sepak Malaysia selepas mendapati wujud ketidakaturan dalam pertimbangan kelulusan khas berkenaan.
EAIC berkata, syor itu dibuat berdasarkan hasil siasatan Pasukan Petugas Khas EAIC (PPK EAIC) yang ditubuhkan di bawah Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) susulan aduan terhadap JPN berhubung proses kelulusan kewarganegaraan tujuh pemain naturalisasi bola sepak Malaysia.
Antara syor EAIC ialah supaya JPN dan KDN menyediakan SOP khusus berhubung pelepasan kewarganegaraan asal oleh warganegara asing yang telah memperoleh taraf kewarganegaraan Malaysia.
EAIC turut mengesyorkan supaya satu tempoh ditetapkan bagi pelepasan kewarganegaraan negara asal serta tindakan atau hukuman ditetapkan sekiranya individu berkenaan gagal mengemukakan bukti pelepasan kewarganegaraan tersebut.
Susulan itu, KDN memaklumkan akan meneliti syor yang dikemukakan EAIC bagi memperkukuh tadbir urus pengurusan permohonan kewarganegaraan secara penaturalisasian.
Antara aspek yang akan diberi perhatian ialah pengukuhan SOP, dokumentasi, penyelarasan proses kerja serta mekanisme semakan dan penguatkuasaan yang selaras dengan amalan terbaik perkhidmatan awam.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, pihak KDN sepatutnya memberikan maklum balas dalam tempoh 14 hari kepada EAIC selepas laporan siasatan diserahkan kepada mereka.
Bagaimanapun, katanya, respon awal telah diberikan oleh pihak berkenaan meneliti setiap syor EAIC dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga memberikan komitmen untuk mengambil tindakan.
“Saya pasti Ketua Setiausaha Kementerian pun sudah mengambil tindakan contohnya mengenai dwi kewarganegaraan kerana itu langkah yang paling mudah sekali untuk buang satu kewarganegaraan dan memilih salah satu warganegara yang dia nak,” katanya.
Ismail turut membangkitkan kebimbangan jika SOP pemberian kewarganegaraan tidak diperkemaskan, ia tidak mustahil akan berlaku kepada individu lain juga yang membuat permohonan sama.
“Ada kemungkinan itu. Biasanya pengalaman kita bila kita siasat, mesti ada benda besar. Sekarang ada yang ada warganegara Indonesia dapat warganegara, tapi masih pegang warganegara Indonesia. Tak mustahil berlaku,” katanya.
Kredit sumber: UTUSAN MALAYSIA/Disiarkan pada 4 September 2026
