KUALA LUMPUR: Pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dinasihat tidak bertindak mengikut emosi, dengan mereka yang berada dalam Jemaah Menteri perlu memberi tumpuan kepada kepentingan negara terlebih dahulu.
Kenyataan itu disuarakan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil sebagai maklum balas kepada gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencabar mana-mana pihak yang mahu parti menamatkan kerjasama dalam kerajaan Pusat membubarkan Parlimen atau mengusulkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan bagaimanapun yakin sebarang ugutan tidak akan sesekali menggoncang kekuatan kerajaan, malah percaya pentadbiran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan teruskan berkhidmat sehingga akhir penggal.
“Perdana Menteri sewaktu Kongres PKR di Melaka tempoh hari menyatakan apa-apa jua keputusan yang kita akan ambil tidak akan berdasarkan kepada emosi, tetapi kita fikirkan negara. Kita letakkan negara dahulu. Itulah diajar oleh guru kita.
“Kalau kita lihat dalam mana-mana parti, akan ada suara yang rencam. Ada yang ingin melakukan perkara A, ada ingin melakukan perkara B.
“Tapi sebagai pemimpin, kita harus menjadi contoh meletakkan Malaysia, mengutamakan Malaysia. Jadi bagi saya, itu yang harus menjadi panduan terutama dalam bukan hanya memimpin parti tapi memimpin negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai acara larian Oxyenergy Prima Merdeka Run 2026 di Balai Berita Media Prima Berhad di sini pagi tadi.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari; Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA, Datuk Mohd Efendi Omar; Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima Berhad (MPB), Datuk Farrah Naz Abd Karim dan Pengarang Kumpulan Berita dan NCA Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Azhari Muhidin.
Kredit sumber: Berita Harian
