JELEBU: Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini berharap kerajaan mempertimbangkan kenaikan elaun bagi golongan berkenaan dalam pembentangan bajet 2027 Oktober ini.
Setiausaha Jawatankuasa Khas Pusat Kehidupan Berdikari (ILC) Fazrin Fawi yang mewakili golongan itu emminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mempertimbangkan kenaikan kadar Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) daripada RM450 kepada RM600 sebulan.
Katanya, isu itu disifatkan amat kritikal memandangkan kadar elaun sedia ada yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dilihat tidak lagi sepadan dengan kos sara hidup dan lonjakan perbelanjaan harian semasa.
”Insentif bulanan yang diwujudkan sejak sekian lama itu bermatlamat menggalakkan golongan OKU berdikari serta kekal produktif dalam pasaran kerja tempatan.
“Bagaimanapun, perubahan persekitaran ekonomi global dan domestik, termasuk pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,700 sebulan pada peringkat nasional, memerlukan penyesuaian semula terhadap bentuk bantuan serta sokongan sosial kepada golongan rentan,” katanya.
Fazrin berkata, cadangan kenaikan kadar ini bukanlah bertujuan untuk menggalakkan kebergantungan sepenuhnya kepada bantuan kerajaan, sebaliknya suntikan sokongan moral dan kewangan kepada mereka yang memilih untuk berdikari.
Katanya, pekerja daripada komuniti OKU secara puratanya terpaksa menanggung kos kebolehcapaian dan logistik yang jauh lebih tinggi berbanding pekerja berupaya normal.
Jelasnya lagi, antara bebanan kos khusus yang terpaksa ditanggung termasuklah perbelanjaan pengangkutan khas atau perkhidmatan e-hailing, penyenggaraan alatan sokongan seperti kerusi roda dan alat pendengaran, serta kos rawatan perubatan atau terapi berterusan.
Sehubungan itu Fazrin berharap Perdana Menteri dapat meneliti syor itu sebelum mengumumkannya dalam Bajet 2027.
Katanya, golongan OKU juga mahu kualiti hidup yang lebih selesa sama seperti golongan normal yang lain.
“RM600 mungkin kelihatan kecil dari sudut belanjawan kerajaan, tetapi bagi seorang pekerja OKU, tambahan kewangan itu membawa perubahan yang amat bermakna dalam kelangsungan hidup seharian mereka,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
