KOTA KINABALU, 13 September 2026 – Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak, yang dilihat penting dalam memperkukuh perwakilan kedua-dua negeri di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, penambahan kerusi berkenaan perlu direalisasikan secepat mungkin kerana ia mampu memastikan suara rakyat, terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan terpencil, dapat diketengahkan dengan lebih berkesan di peringkat Parlimen.
Menurutnya, walaupun keputusan berkenaan disambut baik, pelaksanaannya masih tertakluk kepada beberapa proses termasuk pindaan Perlembagaan dan kelulusan Parlimen.
“Kita menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berhubung penambahan kerusi untuk Sabah dan6 Sarawak.
“Saya berharap perkara ini dapat direalisasikan dalam tempoh yang tidak terlalu lama, walaupun kita memahami terdapat beberapa prosedur yang perlu dilalui termasuk pindaan Perlembagaan serta kelulusan Parlimen,” katanya.
Azizah berkata, penambahan jumlah kerusi Parlimen bukan sekadar berkaitan bilangan wakil rakyat, sebaliknya mempunyai kepentingan lebih luas dalam memastikan isu dan keperluan masyarakaty di setiap kawasan mendapat perhatian sewajarnya.
Katanya, keperluan tersebut amat berkait dengan usaha menangani kemiskinan di Sabah yang memerlukan perancangan dan intervensi berdasarkan keadaan sebenar setiap kawasan.
“Bagaimana kita mahu merancang program yang bersesuaian sekiranya kita tidak mengetahui keadaan sesuatu tempat dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat di situ.
“Pendekatan yang sama tidak semestinya sesuai untuk semua kawasan kerana setiap daerah dan komuniti mempunyai keperluan serta cabaran yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata, wakil rakyat yang memahami keadaan setempat dengan lebih dekat akan berada pada kedudukan lebih baik untuk membawa permasalahan rakyat kepada perhatian kerajaan dan Parlimen.
Kajian kemiskinan perlu berdasarkan data
Dalam pada itu, Azizah berkata Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) kini memberi perhatian terhadap kajian kemiskinan bagi mengenal pasti dengan lebih tepat lokasi serta kelompok masyarakat yang memerlukan bantuan.
Katanya, kajian berkenaan tidak hanya tertumpu kepada kadar kemiskinan mengikut daerah, sebaliknya turut melibatkan pemetaan sehingga ke peringkat kampung.
Menurutnya, langkah tersebut penting kerana keadaan kemiskinan tidak semestinya melibatkan keseluruhan kawasan dalam sesebuah daerah.
“Tidak semua kawasan dalam satu-satu daerah mengalami keadaan kemiskinan yang sama. Ada lokasi tertentu yang mempunyai kadar kemiskinan lebih tinggi.
“Oleh itu, pemetaan sedang dilaksanakan supaya kampung dan kawasan yang benar-benar memerlukan intervensi dapat dikenal pasti dengan lebih tepat,” katanya.
Azizah berkata, pegawai serta penyelidik IDS telah menjalankan kerja lapangan di beberapa daerah termasuk Pitas, Kota Marudu dan Semporna bagi memperoleh maklumat secara terus daripada pihak berkuasa daerah.
Beliau berkata, dirinya turut mengadakan pertemuan dengan Pegawai Daerah Semporna bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai lokasi serta isu kemiskinan yang berlaku di daerah berkenaan.
Katanya, dapatan kajian itu akan dibawa kepada pihak berkaitan, khususnya Kerajaan Negeri Sabah, selain mendapatkan kerjasama Kerajaan Persekutuan supaya usaha membasmi kemiskinan dapat dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar masyarakat.
“Kita mahu mengenal pasti dengan jelas kawasan yang memerlukan perhatian supaya perancangan kerajaan dan bantuan yang disediakan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukannya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Azizah turut menggalakkan lebih ramai wanita dan golongan muda Sabah yang mempunyai kelayakan serta kemampuan untuk tampil sebagai pemimpin dan wakil rakyat.
Katanya, penyertaan golongan berkenaan penting bagi memastikan lebih banyak suara daripada Sabah dibawa ke peringkat Parlimen.
“Kita mahu melihat lebih ramai wanita dan anak muda Sabah yang berkebolehan tampil ke hadapan untuk mewakili rakyat di Parlimen.
“Beranilah untuk bersuara, tetapi pastikan suara yang dibawa itu berasaskan kebenaran dan kepentingan rakyat, bukan sekadar bercakap tanpa membawa penyelesaian,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
