KULAI – Polis melepaskan satu das tembakan ke arah tayar sebuah kereta yang dinaiki sepasang kekasih selepas suspek bertindak melanggar anggota polis dan cuba melarikan diri ketika pemeriksaan di Jalan Kenari, Bandar Putra, di sini, awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, berkata kejadian berlaku pada jam 1.20 pagi ketika polis sedang melakukan rondaan di lokasi tersebut dan mengesan sebuah Perodua Myvi berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati kereta itu dinaiki seorang lelaki dan wanita warga tempatan berusia 23 tahun.
“Suspek kemudiannya bertindak agresif dengan melanggar motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB), sebuah kereta orang awam selain cuba melanggar polis berkenaan.
“Bagi mempertahankan diri dan memberhentikan kereta itu, polis terpaksa melepaskan tembakan, namun suspek dapat memecut keluar dari lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, kejadian menyebabkan seorang anggota URB cedera ringan di bahagian kaki akibat tersepit selepas motosikalnya dirempuh suspek.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang menjalankan siasatan di lokasi menemukan serpihan anak peluru serta kelongsong di tempat kejadian.
Tambah Seng Lee, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai berjaya memberkas kedua-dua suspek, kurang 24 jam selepas kejadian berkenaan.
“Mereka ditangkap antara jam 11.30 pagi hingga 8.30 malam pada Sabtu di Bandar Putra dan Kluang. Polis turut merampas sebuah alat kawalan jauh dan Perodua Myvi berwarna hitam yang digunakan suspek,” ujarnya.
Jelas Seng Lee, kedua-dua suspek tidak memiliki rekod lampau dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pagi ini untuk permohonan reman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 kerana cubaan membunuh, Seksyen 332 kerana mencederakan penjawat awam dan Seksyen 186 kerana menghalang tugas penjawat awam.
Kredit sumber: Sinar Harian
