KUALA LUMPUR – Pelajar daripada golongan B40 dari Sabah dan Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara bakal menikmati tiket penerbangan percuma.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mengarahkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir supaya meminta semua universiti menyediakan kemudahan berkenaan.
Menurut beliau, inisiatif itu turut diperluaskan kepada pelajar B40 dari Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Melaka yang menuntut di Sabah serta Sarawak.
“Saya juga mengarahkan semua Menteri Besar iaitu Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak serta Ketua Menteri Melaka untuk mengeluarkan tiket percuma kepada pelajar B40 dari negeri masing-masing yang belajar di Sabah dan Sarawak.
“Itulah gunakan kita ada menteri daripada UMNO. Itu baru namanya presiden yang jaga anak buah,” katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini hari ini.
Terdahulu, isu tambang penerbangan yang tinggi ke Sabah turut dibangkitkan pada sesi perbahasan PAU 2026 semalam.
Perwakilan Wanita Sabah mencadangkan supaya satu mekanisme tambang khas diwujudkan bagi penerbangan dari negeri itu, khususnya untuk pelajar, keluarga berpendapatan rendah dan individu yang perlu melakukan perjalanan kecemasan.
Ketua Wanita Keningau, Siti Noor Zati Kamelah Sairin berkata, cadangan itu dikemukakan susulan harga tiket penerbangan antara Sabah dan Semenanjung yang semakin membebankan.
Katanya, tambang sehala boleh mencecah lebih RM1,000 sekiranya tiket penerbangan dibeli pada saat akhir.
Kredit sumber: KOSMO! ONLINE/Disiarkan pada pada 12 September 2026
