SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai di Sungai Seguntur, di sini, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM4.89 juta.
Operasi Bersepadu Khas itu dijalankan kira-kira jam 1.30 pagi, 15 September lalu, hasil maklumat dan risikan, dengan serbuan dilakukan di sebuah jeti tidak berdaftar di tepi Sungai Seguntur.
Dalam serbuan berkenaan, seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan, manakala sebanyak 1.82 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama dirampas.
Turut dirampas ialah sebuah lori bonded tiga tan, sebuah bot laju berukuran 30 x 10 kaki serta tiga unit enjin sangkut Yamaha 200HP, dengan nilai keseluruhan rampasan pertama dianggarkan RM2.564 juta.
Hasil maklumat susulan daripada tangkapan berkenaan, pasukan serbuan kemudian mengesan sebuah lagi bot laju yang disembunyikan di celah pokok bakau di Sungai Seguntur.
Pemeriksaan menemukan bot berukuran sama yang dilengkapi tiga unit enjin sangkut Yamaha 200HP serta muatan 1.73 juta batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama.
Kesemua bot dan barangan rampasan dibawa ke Jeti Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut, dengan nilai rampasan kedua dianggarkan RM2.326 juta.
Secara keseluruhan, operasi itu berjaya merampas 3.55 juta batang rokok tidak bercukai dengan nilai keseluruhan RM4.89 juta.
Dalam operasi berasingan pada 14 September lalu, PPM Wilayah 4 Sabah turut menyerbu sebuah gudang tidak bernombor di Kampung Dambai, Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu.
Hasil pemeriksaan menemukan 43,200 tin minuman keras yang disyaki tidak bercukai, dengan nilai rampasan dianggarkan RM478,506.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan rampasan kontraban oleh PPM Wilayah 4 Sabah dalam tiga serbuan pada 14 dan 15 September lalu bernilai RM5,368,506.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Untuk rekod, bagi tempoh Januari hingga 15 September 2026, PPM Wilayah 4 Sabah merekodkan 61 kes di bawah Akta Kastam 1967, membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM8,386,812.61 serta 40 tangkapan.
PPM Wilayah 4 Sabah berkata kejayaan itu mencerminkan keberkesanan perkongsian risikan dan kerjasama strategik bersama SPRM dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan serta membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran barangan tidak bercukai.
PPM Wilayah 4 Sabah turut memberi jaminan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan, memperkukuh perkongsian maklumat dan meningkatkan kerjasama antara agensi bagi membanteras kegiatan penyeludupan secara berterusan- DRP
