THE HAGUE: Bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte yang berdepan pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), membuat penampilan pertamanya di khalayak ramai dalam tempoh lebih setahun pada Rabu apabila menghadiri pendengaran praperbicaraan di mahkamah itu di The Hague, lapor Associated Press (AP).
Duterte, 81, dituduh melakukan pembunuhan dan cubaan membunuh atas dakwaan penglibatannya dalam puluhan pembunuhan sebagai sebahagian daripada kempen yang dikenali sebagai “perang terhadap dadah” ketika memegang jawatan, pada mulanya sebagai datuk bandar sebuah bandar di selatan Filipina dan kemudian sebagai presiden. Beliau menafikan pertuduhan terhadapnya.
Beliau tidak menghadiri beberapa siri pendengaran sejak ditahan pada 2025 atas alasan kesihatan, namun hakim mahkamah pada Januari memutuskan bahawa beliau cukup sihat untuk dibicarakan.
Hakim yang mempengerusikan kes itu sebelum ini memberitahu pasukan guaman Duterte bahawa beliau mahu bekas pemimpin berkenaan menghadiri sesi pada Rabu.
“Kami menjangkakan Duterte berada di sini melainkan terdapat masalah kesihatan,” kata Hakim Joanna Korner semasa pendengaran praperbicaraan pada Jun.
Pendengaran pada Rabu adalah bagi membincangkan pendedahan bukti dan menetapkan jadual perbicaraan yang dijadualkan bermula pada November.
Duterte ditahan pada Mac 2025 dan dijadual hadir di mahkamah di The Hague pada September tahun lepas.
Bagaimanapun, pendengaran itu ditangguhkan selepas panel hakim praperbicaraan membenarkan “penangguhan terhad” bagi memberi masa kepada mahkamah menentukan sama ada Duterte cukup sihat untuk mengambil bahagian dalam prosiding.
Susulan penilaian oleh panel pakar perubatan, hakim memutuskan bahawa Duterte “cukup sihat untuk mengambil bahagian dalam prosiding praperbicaraan.”
ICC menyiasat pembunuhan beramai-ramai dalam tindakan keras yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Duterte sejak 2018. Anggaran jumlah kematian sepanjang tempoh Duterte sebagai presiden berbeza-beza, daripada lebih 6,000 yang dilaporkan polis negara itu hingga 30,000 seperti didakwa kumpulan hak asasi manusia.
Menurut pihak pendakwaan, polis dan kumpulan pembunuh yang dikaitkan dengan kerajaan melakukan puluhan pembunuhan atas arahan Duterte, didorong oleh janji ganjaran wang atau bagi mengelak daripada menjadi sasaran sendiri.
Sebulan selepas mahkamah mengumumkan siasatan awal terhadap tindakan keras berkaitan dadah pada Februari 2018, Duterte berkata Filipina akan menarik diri daripada ICC.
Tahun lepas, hakim menolak permohonan pasukan guaman Duterte supaya kes itu digugurkan susulan pengunduran Filipina daripada ICC.
Menurut keputusan itu, negara tidak boleh “menyalahgunakan” hak untuk menarik diri daripada Statut Rom yang menjadi asas penubuhan mahkamah berkenaan dengan melindungi individu daripada proses keadilan berkaitan dakwaan jenayah yang sudah dalam pertimbangan mahkamah.
Awal tahun ini, cubaan pihak berkuasa menahan seorang lagi individu yang dikehendaki ICC berhubung pembunuhan berkaitan dadah bertukar menjadi insiden berbalas tembakan di Senat Filipina pada Mei. Tiada kecederaan dilaporkan.
Mahkamah sebelum itu mendedahkan waran tangkap terhadap Ronald Marapon dela Rosa, yang pernah berkhidmat sebagai ketua polis negara di bawah Duterte. Dela Rosa bersembunyi selepas insiden di Senat itu dan masih diburu.
Dua bulan kemudian, Senat Filipina yang bertindak sebagai mahkamah bagi membicarakan pendakwaan terhadap pegawai tinggi negara, memulakan perbicaraan terhadap anak perempuan Duterte, Naib Presiden Sara Duterte.
Jika disabitkan atas pertuduhan termasuk mengumpul kekayaan yang tidak dapat dijelaskan dan mengancam keluarga Presiden Ferdinand Marcos Jr secara terbuka, beliau boleh hilang kelayakan secara kekal untuk memegang jawatan awam. Beliau menafikan pertuduhan berkenaan.
Kredit sumber: BERNAMA-AP/Astro AWANI
