Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah menyita kereta Perodua Viva yang dirakam cuba melarikan diri daripada kenderaan penguat kuasa jabatan itu di Sabah.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kenderaan berkenaan ditahan selepas gagal berhenti apabila diarahkan anggota penguat kuasa dan bertindak melarikan diri.
“Kenderaan yang gagal berhenti dan cuba melarikan diri daripada penguat kuasa itu, sudah disita dan dibawa ke depot sitaan kenderaan Ibu Pejabat Kota Kinabalu,” katanya.
Muhammad Kifli menasihatkan pemandu supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati dan tidak meniru tindakan berbahaya dilakukan pemandu berkenaan.
“Pemanduan sedemikian bukan sahaja membahayakan pemandu itu sendiri, malah anggota penguat kuasa dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Satu video tular di media sosial menunjukkan Perodua Viva hitam dikejar kenderaan JPJ di Sabah, yang bertindak menukar lorong beberapa kali sambil diekori.
Klip bertarikh 19 September itu dirakam dari sebuah kenderaan lain yang berada di belakang mereka.
Muhammad Kifli berkata, JPJ Sabah sudah menjalankan siasatan sebelum mengesan dan menyita kereta berkenaan di Kampung Sabandar, Tuaran pada jam 10.25 malam, hari sama.
“Hasil pemeriksaan mendapati, pemandu kenderaan itu didakwa melakukan tiga kesalahan, iaitu memandu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada perlindungan insurans dan memandu dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.
“Satu notis penahanan kenderaan dikeluarkan, bersama tiga notis P22.
“Tindakan penyitaan dilakukan secara bersama oleh Unit Penguatkuasa Bermotor dan Unit Peronda JPJ, dengan bantuan pihak polis Tuaran,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro/Disiarkan pada 20 September 2026
