KOTA KINABALU, 21 September 2026 – Pengurusan sisa di Sabah perlu mengambil kira keadaan dan keperluan khusus setiap daerah berikutan perbezaan cabaran yang dihadapi kawasan bandar, luar bandar, pesisir pantai dan kepulauan.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata pendekatan yang sama bagi semua kawasan tidak semestinya berkesan dalam menangani keseluruhan permasalahan pengurusan sisa di negeri ini.
Menurut beliau, perancangan pengurusan sisa perlu mengambil kira bukan sahaja kuantiti sisa yang dihasilkan, malah turut meliputi lokasi, jenis sisa, sistem kutipan serta kaedah pengurusan selepas sisa dikumpulkan.
“Apabila kita membincangkan isu sisa di Sabah, kita sebenarnya berhadapan dengan pelbagai keadaan dan cabaran yang tidak sama antara satu kawasan dengan kawasan yang lain.
“Keperluan kawasan bandar yang menghasilkan ratusan tan sisa setiap hari tentunya berbeza daripada komuniti di pulau, kawasan luar bandar atau tempat yang masih berdepan kekangan mendapatkan perkhidmatan kutipan sisa secara konsisten,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Trash Talk to Action I: Memahami Landskap Pengurusan Sisa di Sabah yang dianjurkan bersama IDS Sabah dan Konrad-Adenauer-Stiftung (KAS) Malaysia di sini, hari ini.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Maijol Mahap yang mewakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Azizah berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah kapasiti tapak pelupusan Kayu Madang yang menerima sisa dari Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang, Putatan dan Kota Belud dengan jumlah kira-kira 800 tan sehari.
Katanya, keadaan di daerah lain pula mempunyai cabaran tersendiri, termasuk isu pembuangan sisa secara terbuka di kawasan pesisir, pengurusan sisa di pulau-pulau, pencemaran marin serta keperluan menambah baik dan memperluaskan kemudahan pengumpulan sisa.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik usaha meneroka penggunaan teknologi baharu dalam pengurusan sisa, termasuk cadangan membangunkan kemudahan biogas di Kayu Madang yang berpotensi memanfaatkan gas metana untuk menghasilkan tenaga elektrik sehingga dua megawatt.
Bagaimanapun, Azizah menegaskan bahawa teknologi semata-mata tidak dapat menyelesaikan isu pengurusan sisa sekiranya tidak disokong sistem kutipan yang berkesan, data yang menyeluruh, pengasingan sisa, amalan kitar semula serta pembahagian tugas yang jelas antara agensi dan institusi berkaitan.
Beliau turut melihat mekanisme sedia ada seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) boleh diperkasakan bagi meningkatkan penyertaan masyarakat dalam usaha menjaga kebersihan dan mengurus sisa di kawasan masing-masing.
“Kita tidak semestinya perlu membentuk mekanisme baharu. Apa yang lebih penting ialah memperkemas prosedur dan garis panduan melalui mekanisme yang sudah tersedia supaya masyarakat jelas mengenai tanggungjawab dan peranan masing-masing,” katanya.
Azizah berkata, program Trash Talk to Action berkenaan diharap dapat membuka ruang kepada perbincangan lebih lanjut berkaitan aspek tadbir urus, penyelarasan antara institusi serta usaha membentuk sistem pengurusan sisa yang lebih tersusun dan bersepadu di Sabah.
Menurutnya, perbincangan mengenai pengurusan sisa perlu diterjemahkan kepada tindakan yang mampu menghasilkan perubahan sebenar demi memastikan alam sekitar negeri ini terus terpelihara.
“Daripada ‘Trash Talk’ kepada tindakan, kita bukan hanya membincangkan isu sampah, tetapi bagaimana membina Sabah yang lebih bersih, mampan dan bertanggungjawab untuk generasi akan datang,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
