KUALA TERENGGANU — Lebih 57,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dalam serbuan serta operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara sehingga 17 September lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, daripada jumlah itu, lebih 35,000 PATI ditahan dalam operasi dijalankan oleh pihak JIM sendiri, manakala lebih 22,000 lagi ditahan di pintu masuk negara serta hasil serahan daripada agensi penguatkuasaan lain.
Menurutnya, secara keseluruhan JIM telah melaksanakan lebih 9,700 operasi di seluruh negara sehingga tarikh tersebut dengan memeriksa lebih 130,000 warga asing.
”Operasi ini akan diteruskan dan kita tidak akan berhenti atau mengurangkannya. Operasi yang dilaksanakan pada setiap masa sepanjang tahun.
”Jika dilihat berdasarkan statistik sehingga 17 September, sebanyak 9,700 operasi dilaksanakan dalam tempoh 260 hari bermula 1 Januari lalu, iaitu purata 37 operasi sehari,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi penguatkuasaan di Flat Sri Kolam di sini pada awal pagi Isnin.
Operasi bersepadu berkenaan turut disertai oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Mengulas lanjut mengenai operasi di Flat Sri Kolam, Lokman memaklumkan seramai 133 warga asing telah diperiksa dan 19 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Katanya, antara kesalahan utama yang dikesan termasuklah tinggal lebih masa, tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan menyalahgunakan pas atau permit bagi tujuan yang tidak dibenarkan.
Beliau berkata, tindakan tegas penguatkuasaan JIM bukan sahaja terarah kepada golongan warga asing semata-mata, malah turut merangkumi majikan, pemilik premis serta pemilik kediaman yang didapati melanggar undang-undang negara.
”Mana-mana majikan yang didapati melakukan kesalahan imigresen akan turut didakwa, termasuk melindungi atau menggajikan PATI yang tidak mempunyai pas penggajian yang sah.
”Pemilik premis atau kediaman juga boleh didakwa sekiranya menyewakan premis milik mereka kepada PATI,” katanya lagi sambil menambah sebanyak 1,720 majikan di seluruh negara telah didakwa atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen sehingga tarikh sama.
Tambah beliau, jika dibahagikan mengikut tempoh 260 hari, ia menunjukkan purata seramai enam majikan atau pemilik premis didakwa pada setiap hari.
Dalam pada itu, Lokman turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil sebarang tindakan sendiri sekiranya mengesan atau mengesyaki kehadiran warga asing yang melanggar peraturan imigresen.
Sebaliknya, beliau menggesa masyarakat agar menyalurkan maklumat secara rasmi kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan yang pantas dan teratur diambil.
”Kita faham rakyat Malaysia prihatin dan sentiasa memerhatikan pelbagai kesalahan yang mungkin dilakukan warga asing, khususnya PATI.
”Namun, apabila mengesan salah laku, laporkan kepada pihak berkuasa secara rasmi dan berikan maklumat lengkap, termasuk gambar jika ada, supaya tindakan dapat diambil.
”Kita tidak mahu rakyat tempatan mengambil tindakan sendiri kerana dikhuatiri perkara lain pula berlaku. Jadi, buat laporan atau aduan rasmi kepada pihak berkuasa,” jelasnya.
Kredit sumber: Sinar Harian
