KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman, mempunyai kenangan menarik dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang ditemuinya ketika mereka sama-sama menikmati hidangan di Penjara Kajang.
Yasin berkata, dia mula mengenali Najib ketika membuat persembahan dalam beberapa acara di penjara, yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri itu untuk menjamu selera bersama tetamu lain.
Katanya, dia tidak pernah bertemu Najib secara bersemuka sebelum dipenjarakan.
“Syukur, saya berpeluang mengenali beliau dengan lebih dekat kerana saya ditugaskan membuat persembahan pada setiap acara,” katanya menerusi sebuah siaran podcast.
Yasin berkata, mereka sering berkongsi meja bersama Pengarah Penjara sambil berbual ketika menikmati hidangan.
“Apabila saya bertemu beliau secara bersemuka, saya dapati beliau seorang yang sangat berhemah.
“Beliau memang seorang yang sangat berhemah, prihatin dan lembut tutur katanya,” katanya.
Yasin berkata, Najib turut mengambil berat mengenai kes yang dihadapinya dan beberapa kali bertanyakan perkara itu.
“Beliau banyak kali bertanya mengenai kes saya,” katanya.
Yasin berkata, dia tidak pernah menjangka akan menerima hukuman sedemikian selepas prosiding di Mahkamah Tinggi, kerana sebelum itu dia menyangka dibenarkan pulang selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rendah.
“Tiba-tiba hakim menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 16 sebatan,” katanya.
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada November 2023 melepas dan membebaskan Yasin daripada tiga pertuduhan berkaitan dadah, namun memerintahkan dia ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak sebelum dibebaskan pada 3 September lalu.
Kredit sumber: Buletin TV3
U
