MIRI: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar membeli makanan dan barangan keperluan di pekan Long Lama ditemui meninggal dunia berhampiran Rumah Akeh, Sungai Baram, pagi Ahad.
Mayat Jerry Robert Lah, 25, ditemui terapung kira-kira jam 7 pagi oleh penduduk kampung berkenaan yang keluar menangkap ikan di sungai berhampiran rumah panjang tersebut.
Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bergegas ke lokasi mendapati mayat mangsa berada kira-kira satu kilometer dari Jeti Kem Temala.
Ketua Polis Daerah Marudi DSP Nor Aizan Mohd Jamil berkata mangsa keluar dari Kem Temala menuju ke pekan Long Lama kira-kira jam 6.30 petang Jumaat untuk membeli makanan dan barangan keperluan dengan menaiki perahu milik bapanya.
“Ahli keluarga kemudian cuba menghubungi mangsa melalui telefon, namun tiada jawapan.
“Sekitar jam 9 malam Sabtu, bapa mangsa menemui sebuah perahu yang telah karam di Sungai Baram, kira-kira satu kilometer dari Jeti Kem Temala,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo.
Terdahulu menurut Aizan, satu laporan orang hilang dibuat di Balai Polis Long Lama pada jam 6.58 petang Sabtu bagi mendapatkan bantuan pihak berkuasa untuk mengesan mangsa
Operasi SAR hari pertama bermula jam 8 pagi Ahad dengan kekuatan dua anggota polis bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda, tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 15 penduduk kampung menggunakan tiga perahu.
“Pada awalnya kes diklasifikasikan sebagai orang hilang, namun setelah mangsa ditemui dan meninggal dunia, kes kemudian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Klinik Long Lama untuk pemeriksaan sebelum pegawai perubatan mengesahkan kematiannya.
Pihak keluarga kemudian membawa mayat mangsa ke Lambir untuk urusan pengebumian.
Kredit sumber: Utusan Borneo Online
