Koh Samui: Enam hari bersembunyi dalam hutan bukit berhampiran wilayah ini, seorang penjenayah dalam buruan berjaya ditahan semula selepas turun ke kaki bukit dipercayai untuk mencari makanan.
Suspek dikenali Warin atau Tao itu ditahan kira-kira jam 2 petang semalam selepas anggota Balai Polis Bophut bersama sukarelawan polis dan penduduk tempatan mengepung kawasan sebaik memperoleh maklumat awam.
Memetik Khaosod English, suspek sebelum itu melarikan diri sejak 16 Sept lalu, selepas didakwa menanggalkan gari ketika dibawa ke Mahkamah Wilayah Koh Samui dan lolos, bersembunyi ke kawasan hutan.
Timbalan Ketua Balai Polis Bophut, Leftenan Kolonel Polis Booncherd Maneechai berkata, anggotanya menjalankan operasi mencari suspek secara berterusan sejak hari kehilangan dan menerima maklumat suspek turun dari bukit untuk mencari makanan.
Katanya, susulan maklumat pihaknya segera memeriksa rumah keluarga suspek tetapi gagal menahannya dipercayai kerana dia sempat keluar sebelum ketibaan anggota.
Menurutnya, pencarian diteruskan di sekitar dan suspek ditemui kira-kira lima minit kemudian serta dibawa ke Balai Polis Bophut untuk disoal siasat.
“Dalam soal siasat, Warin berulang kali memberikan jawapan mengelirukan termasuk mendakwa tidak mengingati namanya selain berkeras tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Dia juga menafikan sengaja meloloskan diri tetapi mendakwa gari di tangannya terlepas sendiri sebelum memutuskan untuk melarikan diri,” kata Booncherd.
Suspek turut mendakwa tidak mengetahui kesalahan dibuat dan mengapa polis mengejarnya.
Kredit sumber: Harian Metro/Disiarkan pada 23 September 2026
