BANGKOK: Ibu negara Thailand, Bangkok diisytiharkan sebagai zon bencana selepas banjir dahsyat melanda penduduk termasuk beberapa jalan utama yang ditenggelami air susulan hujan berterusan sejak lebih 24 jam lalu.
Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengisytiharkan tiga daerah, iaitu Nong Chok, Suan Luang dan Khan Na Yao sebagai kawasan bencana banjir susulan hujan lebat berterusan yang kini memasuki hari ketiga.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, mengumumkan pengisytiharan itu pada Sabtu ketika ramalan cuaca menjangkakan hujan berterusan di ibu negara berkenaan sepanjang hujung minggu.
Dilaporkan, hujan melebihi 150 milimeter (mm) direkodkan di beberapa kawasan Bangkok, manakala agensi cuaca memberi amaran kemungkinan ribut petir serta hujan yang sangat lebat.
Chadchart berkata, keadaan berkenaan menimbulkan risiko terhadap keselamatan dan nyawa penduduk, selain berpotensi menyebabkan kerosakan kepada harta benda awam dan individu.
Kerajaan turut mengeluarkan nasihat kecemasan kepada penduduk yang tinggal berhampiran terusan supaya berpindah ke tempat lebih tinggi sebagai langkah berjaga-jaga.
Sementara itu, beberapa video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan kenderaan ditenggelami air, manakala pasukan perkhidmatan kecemasan dikerahkan bagi membantu penduduk terjejas.
Hujan turun hampir berterusan sejak petang Khamis lalu, menyebabkan jalan raya ditenggelami air dan paras air di terusan Bangkok meningkat, selain memasuki banyak rumah serta restoran di kawasan berhampiran
Pentadbiran Bandaraya Bangkok turut mengaktifkan pusat perlindungan bagi menempatkan penduduk yang terpaksa dipindahkan susulan banjir.
Sementara itu, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand memberi amaran mengenai sistem tekanan rendah yang melanda kawasan timur, timur laut dan tengah negara itu sehingga Ahad.
Keadaan itu berisiko menyebabkan banjir kilat, aliran deras dari kawasan hutan, tanah runtuh serta limpahan sungai.
Banjir besar pernah melanda Thailand pada 2011 dengan mengorbankan lebih 500 orang dan merosakkan jutaan kediaman.
Kredit sumber: REUTERS/Berita Harian
