TAWAU: Projek pembinaan Jambatan Ranggu-Tiku baharu dijangka disiapkan pada November 2027 bagi meningkatkan kelancaran trafik serta memperkukuh hubungan antara Ranggu, Tiku dan Apas.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, jambatan berkenaan akan menggunakan struktur konkrit kekal dengan laluan dua hala bagi menggantikan jambatan sementara jenis Bailey bridge yang digunakan ketika ini.
Katanya, jambatan sementara berkenaan kini dialihkan ke bahagian tepi bagi membolehkan kerja pembinaan struktur baharu dilaksanakan.
“Laluan sementara ini mula digunakan hari ini dan diharapkan dapat mengurangkan kesesakan yang dialami penduduk Tawau, khususnya sejak dua minggu lalu.
“Saya memohon maaf dan berharap penduduk dapat bersabar sementara usaha meningkatkan kelancaran lalu lintas di Tawau dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau perkembangan projek Jambatan Ranggu-Tiku di sini, kelmarin.
Menurut Lo, pembinaan jambatan baharu itu amat diperlukan berikutan pertambahan penduduk serta perkembangan pembangunan yang semakin pesat di kawasan Ranggu dan Tiku.
Katanya, laluan Sin Onn Tiku-Ranggu yang menghubungkan kawasan berkenaan dengan Apas kini menjadi antara laluan penting yang digunakan puluhan ribu pengguna setiap hari.
“Laluan ini turut melibatkan lebih 100,000 penduduk di kawasan terbabit.
“Dengan perkembangan pembangunan yang semakin meluas ke kawasan Ranggu dan Tiku, laluan ini akan memainkan peranan lebih penting pada masa depan,” katanya.
Sehubungan itu, Lo berharap kerja pembinaan dapat diselesaikan mengikut jadual ditetapkan atau, jika keadaan mengizinkan, disiapkan lebih awal bagi membolehkan penduduk menikmati kemudahan berkenaan dengan segera.
Beliau berkata, projek itu dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Menurutnya, pembinaan jambatan konkrit kekal itu akan menyediakan kemudahan perhubungan yang lebih sesuai bagi menggantikan struktur Bailey bridge yang bersifat sementara dan memerlukan penyelenggaraan secara berkala.
“Jambatan baharu ini dibina dengan struktur konkrit dan akan menjadi laluan kekal, berbeza dengan Bailey bridge sedia ada yang menggunakan permukaan kayu serta memerlukan penyelenggaraan berkala,” katanya.
Pembinaan jambatan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada penduduk dan pengguna jalan raya di sekitar Ranggu, Tiku dan Apas, selain menyokong keperluan perhubungan darat susulan pertumbuhan penduduk serta pembangunan kawasan terbabit. – DAKWAT RAKYAT POST
