KOTA KINABALU: Semporna tidak seharusnya dikenali kerana masalah kebersihan dan lambakan sampah, sebaliknya perlu dipelihara sebagai antara destinasi pelancongan utama Sabah yang menjadi pintu masuk ke pulau serta kawasan perairan negeri ini.
Aktivis dan penganalisis politik, Atan Leecas, berkata aduan pelancong mengenai bau busuk dan keadaan persekitaran yang kotor perlu dipandang serius kerana ia boleh memberi kesan terhadap imej daerah berkenaan di mata pelawat dari dalam dan luar negara.
Beliau berkata, kenyataan seorang pelawat asing yang membandingkan keadaan di sekitar tempat penginapannya dengan India tidak sepatutnya dilihat sekadar sebagai pengalaman individu, sebaliknya perlu dijadikan peringatan supaya isu kebersihan di Semporna ditangani secara lebih menyeluruh.
“Semporna ialah pintu masuk ke pulau dan perairan yang menjadi kebanggaan Sabah. Sebab itu amat memalukan apabila ada pelawat mengadu mengenai bau busuk dan persekitaran kotor,” katanya dalam kenyataan media bertarikh 25 September 2026.
Menurut Atan, usaha membersihkan kawasan oleh Majlis Daerah Semporna, petugas kebersihan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat wajar dihargai.
Katanya, dalam satu program gotong-royong di Kampung Air pada Mei lalu, sebanyak sembilan tan sampah berjaya dikumpulkan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan usaha pembersihan tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya sampah kembali bertimbun selepas sesuatu kawasan dibersihkan.
“Semporna memerlukan sistem kutipan yang berterusan, kemudahan yang mencukupi dan penguatkuasaan yang konsisten.
“Persatuan pengusaha pelancongan juga sebelum ini membangkitkan kekangan membabitkan kenderaan serta kapasiti operasi Majlis Daerah,” katanya.
Dalam pada itu, Atan mempersoalkan usaha jangka panjang yang telah diperjuangkan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bagi menangani masalah pengurusan sampah di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, Shafie telah mewakili Semporna sejak 1995 dan pernah menjadi wakil kawasan itu ketika bersama UMNO sebelum kini bersama Parti Warisan Sabah (Warisan).
Menurutnya, tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Semporna iaitu Sulabayan, Senallang dan Bugaya turut dimenangi wakil Warisan pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2025.
Sehubungan itu, beliau meminta wakil rakyat yang menerima mandat berulang kali tampil dengan pelan penyelesaian yang mempunyai sasaran serta ukuran pencapaian yang jelas.
Atan turut menggesa Shafie bersama ADUN Sulabayan dan Bugaya mengadakan perbincangan dengan Majlis Daerah Semporna, kerajaan negeri, pengusaha pelancongan serta wakil masyarakat kampung bagi merangka tindakan bersama.
Antara perkara yang dicadangkan termasuk menetapkan jadual kutipan sampah secara jelas bagi kawasan pekan, pulau dan perkampungan atas air, selain menyediakan tong sampah serta lokasi pengumpulan yang sesuai.
Beliau turut mahu jumlah bot dan lori kutipan dipastikan mencukupi bagi menyokong sistem pengurusan sisa di kawasan yang mempunyai cabaran geografi tersendiri.
Pada masa sama, kemajuan pelaksanaan usaha berkenaan disarankan dilaporkan kepada rakyat secara berkala setiap bulan.
Atan berkata, aspek kemudahan dan kesedaran masyarakat juga perlu bergerak seiring kerana penduduk memerlukan tempat pembuangan sampah yang sesuai sebelum mereka boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk memastikan kebersihan persekitaran.
Beliau merujuk satu kajian di Kampung Sri Aman yang mendapati 95 peratus isi rumah yang ditinjau tidak mempunyai tong sampah yang sesuai sebelum pelaksanaan program pengurusan sisa komuniti diperkenalkan.
Katanya, keadaan itu menunjukkan penyelesaian isu sampah perlu merangkumi penyediaan kemudahan, pendidikan kepada penduduk serta penguatkuasaan secara berterusan.
“Penduduk perlu dididik supaya tidak membuang sampah merata-rata, namun pada masa sama kemudahan untuk membuang sampah mesti benar-benar tersedia,” katanya.
Atan menegaskan Semporna tidak memerlukan lebih banyak slogan berkaitan kebersihan, sebaliknya memerlukan hasil yang dapat dilihat dan diukur oleh masyarakat.
Beliau turut menyatakan sekiranya Shafie dan wakil rakyat Warisan tidak lagi mampu memimpin usaha bersama bagi menangani masalah yang telah berlarutan itu, mereka wajar memberi ruang kepada pemimpin lain yang sanggup mengambil tanggungjawab dan dinilai berdasarkan pencapaian.
Menurutnya, isu kebersihan bukan sahaja berkaitan imej pelancongan tetapi turut menyentuh maruah masyarakat serta mata pencarian penduduk Semporna yang bergantung kepada sektor pelancongan.
“Maruah rakyat Sabah serta mata pencarian penduduk Semporna tidak patut terus menanggung akibat kegagalan mengurus sampah,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
