SHAH ALAM – Seorang pelajar ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.
“Saya merakamkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
“Seluruh warga KPM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Saya telah bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham di hospital bagi menyampaikan sendiri rasa simpati atas kehilangan yang amat menyayat hati ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Fadhlina berkata, beliau pagi ini hadir ke sekolah berkenaan untuk bertemu warga sekolah, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta pihak PDRM bagi mendapatkan penjelasan berhubung kejadian itu dan tindakan yang sudah diambil.
Beliau berkata, di peringkat KPM, aspek keselamatan dan pematuhan tatacara di sekolah akan diteliti secara menyeluruh.
“Saya telah mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit dengan segera bagi mengenal pasti sebarang ketidakpatuhan,” katanya.
Fadhlina berkata, tiada pihak akan dilindungi sekiranya didapati berlaku salah laku atau pelanggaran undang-undang, manakala tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Kredit sumber: Sinar Harian
