KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak muncul di khalayak ramai hari ini, kali pertama selepas diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara kes SRC International di bawah tahanan rumah.
Bekas Perdana Menteri itu yang tiba dari Penjara Kajang jam 8.30 pagi dengan mengenakan sut kelabu muda dan kemeja putih, tiba dengan dikawal ketat pihak penjara.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini dijadual mendengar permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion berkait kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut semakan laman web kehakiman, permohonan bekas Perdana Menteri itu akan didengar di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.
Ia dikemukakan selepas sembilan bulan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) menyampaikan keputusannya pada 26 Disember tahun lalu.
Kemunculan Najib hari ini menjadi perhatian selepas keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan diumumkan pada 18 September lalu.
Najib menerima pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat yang ditetapkan.
Sementara itu, media melaporkan, tiada tempoh atau had masa ditetapkan untuk Najib menjelaskan denda RM50 juta yang menjadi syarat bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Bagi prosiding hari ini, Najib memohon menggantung pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11.38 bilion terhadapnya bagi empat pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Jika gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan bekas Perdana Menteri menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.
Kredit sumber: Berita Harian
