KOTA KINABALU: Program Malam Sejuta Selawat dan Kesenian Islam bersama Tuan Guru Sheikh Abdul Shabour Al-Kayyali Ar-Rifa’ie Al-Husaini dari Turki berlangsung meriah di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, malam tadi, bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2026.
Program anjuran bersama Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Sabah (PUM), Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS), Sekretariat Borneo Berselawat (SBB) dan Pertubuhan Pembangunan Pendidikan Islam Sabah (PISA) itu menghimpunkan pengisian selawat, ilmu, kesenian Islam dan kebudayaan.
Program turut mendapat kerjasama rakan strategik PAKAS termasuk Raden Studio Akademi serta penglibatan pelbagai pihak dalam menjayakan keseluruhan pengisian.
Pengarah Program yang juga Pengerusi SBB, Pengerusi PAKAS dan Pengasas TigaSatuTiga Channel, Kefayatullah bin Hj. Malik Aman, berkata program berkenaan dirangka sebagai platform yang menggabungkan dakwah, ilmu, selawat dan kesenian Islam dalam suasana yang dekat dengan masyarakat.
Katanya, penganjuran itu turut membawa mesej bahawa seni dan kebudayaan boleh dimanfaatkan sebagai medium dakwah selain menjadi wadah penyatuan masyarakat.
“Kita mahu selawat bukan hanya menjadi satu acara, tetapi menjadi budaya yang hidup dalam masyarakat.
“Pada masa sama, kita mahu masyarakat melihat bahawa dakwah boleh disampaikan melalui pelbagai pendekatan termasuk ilmu, seni, puisi, nasyid dan kebudayaan,” katanya.
Antara pengisian utama program ialah solat Maghrib berjemaah, silat pembukaan dan qasidah, tazkirah oleh Tuan Guru Sheikh Shabour, persembahan puisi Islam dalam enam bahasa serta persembahan nasyid Islam.
Program turut diserikan dengan perkongsian khas dan perasmian oleh YB Dato’ Sri Dr. Ruddy Awah, diikuti Mahallul Qiyam dan selawat, amanat Tuan Guru Sheikh Shabour, doa penutup serta solat Isyak berjemaah.
Kefayatullah berkata, kehadiran Sheikh Shabour dari Turki turut memberi nilai tambah kepada program apabila beliau bukan sahaja menyampaikan tazkirah dan amanat, malah melaksanakan pengijazahan sanad zikir kepada para peserta.
“Pengijazahan sanad zikir ini menjadi salah satu pengisian yang sangat bermakna kerana ia memberikan ruang kepada masyarakat untuk mendekati tradisi keilmuan dan amalan zikir yang bersanad,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada YB Dato’ Sri Dr. Ruddy Awah atas kesudian hadir menyampaikan perkongsian khas serta merasmikan program berkenaan.
Penghargaan turut diberikan kepada Tuan Guru Sheikh Abdul Shabour Al-Kayyali Ar-Rifa’ie Al-Husaini, barisan penganjur, rakan strategik, sukarelawan, ahli khidmat, peserta persembahan serta semua pihak yang memberikan sokongan secara langsung dan tidak langsung.
Antara pengisian kesenian yang mendapat perhatian ialah persembahan silat pembukaan oleh Raden Studio Akademi, qasidah, persembahan nasyid Islam oleh Team Nasyid Mujahidin serta puisi Islam dalam enam bahasa.
Menurut Kefayatullah, kepelbagaian pengisian itu diketengahkan bagi menunjukkan bahawa program berteraskan Islam boleh bergerak seiring dengan identiti masyarakat serta kepelbagaian budaya di Sabah.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang, khususnya dalam edisi Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu seterusnya.
“Insya-Allah, kita berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan dengan pengisian yang lebih besar, lebih tersusun dan lebih meriah.
“Apa yang penting, kita mahu kesinambungan ini menjadi satu ruang untuk masyarakat Sabah terus bersama dalam majlis ilmu, selawat dan kesenian Islam,” katanya.
Program berkenaan turut memperlihatkan usaha pelbagai pertubuhan dan penggiat dakwah di Sabah dalam menggabungkan tradisi keilmuan Islam, selawat, seni persembahan dan kepelbagaian budaya Borneo dalam satu wadah yang terbuka kepada masyarakat.
