KOTA KINABALU: Program Malam Sejuta Selawat dan Kesenian Islam bersama Tuan Guru Sheikh Abdul Shabour Al-Kayyali Ar-Rifa’ie Al-Husaini dari Turki berlangsung meriah di Sabah International Convention Centre (SICC), semalam, bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2026.
Program yang menghimpunkan pengisian selawat, ilmu, kesenian Islam dan kebudayaan itu dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Sabah (PUM), Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS), Sekretariat Borneo Berselawat (SBB) dan Pertubuhan Pembangunan Pendidikan Islam Sabah (PISA).
Penganjuran itu turut mendapat sokongan rakan strategik PAKAS, antaranya Raden Studio Akademi, selain kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan keseluruhan pengisian program berjalan lancar.
Pengarah Program, Kefayatullah Hj. Malik Aman yang juga Pengerusi SBB, Pengerusi PAKAS serta Pengasas TigaSatuTiga Channel, berkata penganjuran berkenaan bertujuan menghimpunkan dakwah, ilmu, selawat dan kesenian Islam dalam satu majlis yang dapat mendekatkan masyarakat kepada pengisian berteraskan agama.
Katanya, pendekatan melalui seni dan kebudayaan turut dilihat mampu menjadi medium dalam menyampaikan mesej dakwah selain mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.
“Kita mahu selawat bukan hanya menjadi satu acara, tetapi menjadi budaya yang hidup dalam masyarakat.
“Pada masa yang sama, kita mahu masyarakat melihat bahawa dakwah boleh disampaikan melalui pelbagai pendekatan termasuk ilmu, seni, puisi, nasyid dan kebudayaan,” katanya.
Antara pengisian yang disediakan ialah solat Maghrib berjemaah, persembahan silat pembukaan dan qasidah, tazkirah oleh Tuan Guru Sheikh Shabour, persembahan puisi Islam dalam enam bahasa serta persembahan nasyid Islam.
Program itu turut disusuli perkongsian khas dan perasmian oleh YB Dato’ Sri Dr. Ruddy Awah.
Suasana majlis kemudian diteruskan dengan Mahallul Qiyam dan selawat, diikuti amanat daripada Tuan Guru Sheikh Shabour sebelum program berakhir dengan doa penutup serta solat Isyak berjemaah.
Kefayatullah berkata, kehadiran Sheikh Shabour dari Turki turut memberikan pengisian istimewa kepada majlis apabila beliau bukan sahaja menyampaikan tazkirah dan amanat, malah turut melaksanakan pengijazahan sanad zikir kepada peserta.
“Pengijazahan sanad zikir ini menjadi salah satu pengisian yang sangat bermakna kerana ia memberikan ruang kepada masyarakat untuk mendekati tradisi keilmuan dan amalan zikir yang bersanad,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada YB Dato’ Sri Dr. Ruddy Awah atas kesudian hadir menyampaikan perkongsian khas selain merasmikan program berkenaan.
Penghargaan turut ditujukan kepada Tuan Guru Sheikh Abdul Shabour Al-Kayyali Ar-Rifa’ie Al-Husaini, semua barisan penganjur, rakan strategik, sukarelawan, ahli khidmat, peserta persembahan serta semua pihak yang memberikan sokongan terhadap penganjuran tersebut.
Dalam pada itu, persembahan silat pembukaan oleh Raden Studio Akademi, qasidah dan nasyid Islam oleh Team Nasyid Mujahidin antara pengisian yang mendapat perhatian sepanjang majlis.
Persembahan puisi Islam dalam enam bahasa turut mengetengahkan kepelbagaian bahasa dan budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Sabah.
Menurut Kefayatullah, kepelbagaian acara yang diketengahkan itu merupakan pendekatan yang dirancang bagi memperlihatkan bahawa pengisian Islam boleh disampaikan melalui seni dan kebudayaan tanpa mengetepikan kepelbagaian masyarakat di Sabah.
Beliau berharap program Malam Sejuta Selawat dan Kesenian Islam dapat diteruskan pada masa akan datang, khususnya sempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu pada edisi berikutnya.
“Insya-Allah, kita berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan dengan pengisian yang lebih besar, lebih tersusun dan lebih meriah.
“Apa yang penting, kita mahu kesinambungan ini menjadi satu ruang untuk masyarakat Sabah terus bersama dalam majlis ilmu, selawat dan kesenian Islam,” katanya.
Penganjuran Malam Sejuta Selawat dan Kesenian Islam itu turut memperlihatkan kerjasama pelbagai pertubuhan serta penggiat dakwah di Sabah dalam menghidupkan program yang menggabungkan tradisi keilmuan Islam, selawat, seni persembahan dan kepelbagaian budaya Borneo.
Majlis berkenaan sekali gus menjadi sebahagian daripada pengisian Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2026 yang menghimpunkan pelbagai kegiatan berkaitan ilmu, pembacaan, kebudayaan dan masyarakat. – DAKWAT RAKYAT POST
