SEMPORNA, 31 Ogos 2026: Program Tong Talun Berselawat 2026 yang berlangsung malam tadi berjaya menghimpunkan masyarakat dalam suasana penuh penghayatan agama, di samping mengetengahkan sejarah dan warisan budaya tempatan.
Program yang membawa tema “Adat Bersendi Sunatullah, Budaya Disulam Mahabbah” itu dianjurkan Sekretariat Borneo Berselawat dengan kerjasama Raspand Motor Sdn Bhd, Persatuan Usahawan Semporna, Persatuan Pesara Kerajaan Sabah Daerah Semporna serta pelbagai persatuan dan rakan strategik.
Pengarah Program, Rojaniah Jawalani berkata, penganjuran Tong Talun Berselawat bukan sekadar bertujuan menghidupkan amalan berselawat, tetapi turut menjadi ruang untuk masyarakat mengenali dan menghargai sejarah, identiti serta warisan yang membentuk kehidupan masyarakat Semporna.
Katanya, nama Tong Talun sendiri mempunyai kaitan rapat dengan sejarah daerah berkenaan apabila istilah dalam bahasa Bajau itu membawa maksud “Hujung Hutan”.
“Pemilihan nama Tong Talun membawa kita kembali kepada akar sejarah Semporna.
“Kita mahu mengangkat bukan sahaja budaya seperti Lepa, tetapi juga sejarah dan tokoh-tokoh yang membentuk masyarakat Semporna,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu turut diterjemahkan menerusi pameran yang mengetengahkan tokoh sejarah seperti Leftenan Muda Imam Marjukin Sayyid Ahad dan Tun Datuk Seri Panglima Haji Sakaran Dandai.
Menurut Rojaniah, penghayatan terhadap sejarah dan kebudayaan perlu bergerak seiring dengan nilai keagamaan yang sejak sekian lama menjadi sebahagian daripada kehidupan serta jati diri masyarakat Bajau di Semporna.
Katanya, selawat merupakan lambang kecintaan kepada Rasulullah ﷺ dan kecintaan itu sewajarnya diterapkan dalam kehidupan melalui pembentukan adab serta akhlak yang baik.
“Kita mahu kecintaan itu diterjemahkan melalui adab, akhlak dan kehidupan seharian, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Dalam masa yang sama, kita mahu masyarakat terus berbangga dengan sejarah, budaya dan identiti yang diwariskan oleh generasi terdahulu,” katanya.
Program yang berlangsung dari jam 8 hingga 10 malam itu turut diisi dengan pelbagai pengisian dan persembahan yang menggabungkan unsur keagamaan serta kebudayaan masyarakat setempat.
Antaranya termasuk perarakan selawat dari KFC Pekan Semporna menuju ke Pasar Malam Atok Ukung, bacaan Maulid Berzanji tradisi dan pengisian berkaitan sirah Rasulullah ﷺ.
Acara berkenaan turut diserikan dengan persembahan Silat Kuntau Bajau, nasyid, lagu tradisional serta persembahan artis tempatan.
Penganjuran program itu turut menerima sokongan daripada pelbagai organisasi, persatuan, komuniti setempat dan rakan strategik yang bersama-sama menjayakan majlis berkenaan.
Rojaniah berkata, kerjasama pelbagai pihak membuktikan wujudnya semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat untuk menghidupkan majlis selawat, selain mempererat ukhuwah penduduk di daerah itu.
Beliau berharap Tong Talun Berselawat dapat diteruskan sebagai wadah yang menghimpunkan masyarakat menerusi penghayatan agama, pengenalan terhadap sejarah dan penghargaan terhadap budaya tempatan.
“Kita berharap Tong Talun Berselawat menjadi ruang untuk masyarakat berkumpul atas dasar agama, mengenali sejarah, menghargai budaya dan menyuburkan kecintaan kepada Rasulullah ﷺ,” katanya.
Program itu sekali gus memperlihatkan bagaimana penghayatan agama, sejarah dan budaya dapat disatukan dalam satu acara masyarakat, khususnya dalam usaha memastikan warisan serta nilai yang diwarisi terus dikenali dan dihargai oleh generasi akan datang. – DAKWAT RAKYAT POST
