PITAS: Dua remaja perempuan cedera ketika cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran yang memusnahkan dua rumah di Kampung Dandun, di sini, awal pagi tadi.
Kedua-dua mangsa berusia 18 dan 13 tahun dilaporkan mengalami kecederaan selepas keluar melalui tingkap ketika kebakaran berlaku.
Mangsa kemudian dibawa ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Penolong Penguasa Bomba Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.55 pagi.
Katanya, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 23 kilometer dari balai dan tiba pada jam 5.24 pagi.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan dua rumah jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran dengan tiga pancutan, manakala bekalan air diperoleh daripada jentera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.30 pagi sebelum pasukan menjalankan kerja-kerja pemadaman sisa kebakaran.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.24 pagi selepas pemeriksaan dijalankan bagi memastikan kawasan berkenaan selamat dan tiada lagi bahaya.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
