LAHAD DATU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Sabah membantah penganjuran program ‘Israel & New Breed – Till The Whole World Knows Tour 2026’ yang dijadual berlangsung di Hakka Hall, Kota Kinabalu pada 22 Oktober ini.
Setiausaha USIA Bahagian Tungku, Mohd Hashim Mohd Hassan, berkata bantahan itu dibuat susulan penglibatan artis antarabangsa Israel Houghton yang didakwa mempunyai pendirian terbuka berkaitan Israel.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat Sabah, khususnya berkaitan isu kemanusiaan dan konflik Israel-Palestin.
Menurutnya, hantaran media sosial yang dikaitkan dengan Houghton sebelum ini didakwa memaparkan kenyataan sokongan terhadap Israel bersama simbol bendera negara berkenaan.
“USIA dan NGO-NGO Islam Sabah memandang serius perkara ini kerana Sabah mempunyai masyarakat yang hidup dalam suasana harmoni, saling menghormati serta menjunjung nilai kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Hashim berkata, bantahan itu bukan ditujukan kepada mana-mana agama atau bangsa, sebaliknya berkaitan pendirian awam seseorang individu terhadap isu Israel-Palestin.
Katanya, pihaknya turut menghormati kebebasan beragama dan menolak sebarang bentuk kebencian terhadap mana-mana kelompok berdasarkan agama atau bangsa.
“Namun demikian, kami berhak menyatakan pendirian terhadap sokongan terbuka kepada mana-mana negara atau pihak yang dikaitkan dengan konflik dan penderitaan rakyat Palestin,” katanya.
Sehubungan itu, USIA dan NGO Islam Sabah menggesa pihak berkuasa berkaitan menyemak status kelulusan, permit serta penganjuran program berkenaan.
Mereka turut meminta pihak berkuasa meneliti latar belakang dan kenyataan awam artis terbabit serta menilai sebarang implikasi terhadap sensitiviti masyarakat, kepentingan awam dan ketenteraman di Sabah.
Mohd Hashim berkata, pihaknya bersedia menyerahkan bahan sokongan termasuk tangkap layar, pautan media sosial dan poster program kepada pihak berkuasa bagi membantu penelitian lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun sebelum ini dilaporkan berkata polis menerima dua laporan berkaitan penganjuran konsert berkenaan dan sedang memantau perkembangan serta mengambil keterangan daripada pihak tertentu.
Beliau dilaporkan berkata tumpuan polis adalah terhadap aspek sensitiviti masyarakat dan ketenteraman awam, manakala setakat ini tiada kertas siasatan dibuka berhubung isu terbabit.
USIA dan NGO Islam Sabah turut menegaskan sebarang bantahan hendaklah disalurkan melalui saluran yang sah serta tidak melibatkan tindakan terhadap mana-mana individu atas dasar agama atau bangsa.
