KUALA LUMPUR: Kehadiran tiga individu berbeza kaum yang mendampingi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pengebumian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, semalam, menyentuh hati ramai pihak.
Malah, kehadiran mereka mengundang pelbagai reaksi warga net selepas gambar tiga individu terbabit tular di media sosial sejak semalam.
Berkongsi kisahnya, Felo Klinikal Kardiologi dan Pakar Perubatan Dalaman di Institut Jantung Negara (IJN), Dr Iskandar Mirza Amran, 40, berkata dia ditugaskan untuk menjaga Dr Mahathir sepanjang urusan pengebumian Allahyarham Dr Hasmah, semalam.
Katanya, ada tujuh individu dalam satu pasukan di IJN merawat serta memantau kesihatan Dr Mahathir dan isterinya yang diketuai Datuk Dr Amin Ariff Nuruddin bersama Datuk Dr Ahmad Khairuddin Mohamed Yusof, Datuk Dr Ghazali Ahmad, Dr Hafidz Abd Hadi, Dr Hisham Md Sharom, Dr Afif Ashaari selain dirinya.
“Pada Ahad lalu, saya bertugas bagi syif 24 jam. Pada pagi semalam, kami dimaklumkan ada kod biru iaitu kecemasan membabitkan Dr Hasmah.
“Saya antara individu yang dipanggil untuk melakukan bantuan pernafasan kecemasan atau Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) terhadap Dr Hasmah sebelum beliau disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dr Iskandar berkata, dia kemudian ditugaskan untuk bersama Dr Mahathir sepanjang urusan pengebumian memandangkan doktor lain dalam pasukan itu mempunyai prosedur penting, semalam.
“Saya lihat Dr Mahathir memang sedih. Beliau tidak banyak bercakap dan hanya menangis sepanjang masa.
“Saya ada bertanya keadaannya untuk periksa sama ada beliau ada mengalami sesak nafas atau sakit dada dan dimaklumkan Dr Mahathir tidak alami simptom berkenaan,” katanya.
Mengulas mengenai gambarnya bersama dua lagi individu iaitu jururawat berbangsa India serta juruterapi berbangsa Cina yang tular di media sosial, Dr Iskandar berkata, dia tidak menyangka ia tular dan menyentuh hati ramai pihak.
“Tidak dinafikan persepsi masyarakat terhadap doktor agak merosot kebelakangan ini atas pelbagai faktor. Namun, hantaran tular itu menukar persepsi orang ramai.
“Ramai pihak menghubungi saya mengucapkan terima kasih kerana menjaga Tun Mahathir. Saya rasa gembira apabila kehadiran kami mengubah persepsi negatif terhadap doktor.
“Apabila menerima ucapan terima kasih serta penghargaan daripada orang ramai, saya rasa penat lelah bertugas kira-kira 40 jam semalam amat berbaloi,” katanya.
Dr Hasmah, 100 tahun, meninggal dunia di IJN jam 9.20 pagi, semalam.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya selepas solat jenazah di Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Serdang.
Kredit sumber: Buletin TV3/Disiarkan pada 29 September 2026
