KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah vesel nelayan asing (VNA) Filipina bersama 65 kru yang disyaki menceroboh perairan negara dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan tanpa kebenaran, pada 27 September lalu.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, vesel terbabit dikesan kira-kira jam 1.30 petang pada kedudukan 18 batu nautika barat Pulau Mantanani ketika aset Maritim Malaysia menjalankan rondaan rutin.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati kru vesel terbabit sedang memunggah kira-kira empat tan hasil laut ke dalam vesel berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 65 kru termasuk tekong berada di atas vesel terbabit.
“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri atau permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mereka turut disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.
Vesel, tekong, kru serta hasil laut berkenaan ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Malaysia sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk vesel dan hasil laut dianggarkan berjumlah RM350,000.
Mohd Khairulanuar berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana vesel nelayan asing yang menceroboh perairan negara atau menjalankan aktiviti perikanan tanpa kebenaran.
Katanya, penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kedaulatan perairan, kepentingan sumber perikanan dan keselamatan maritim negara sentiasa terpelihara.
Orang ramai, khususnya komuniti nelayan, yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387 774 atau talian kecemasan 999.
