SANDAKAN: Peruntukan RM600,000 menerusi Program Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat Madani Maritim Malaysia disalurkan bagi memperkukuh kemudahan asas serta kesejahteraan komuniti di Kampung Tanjung Pisau dan Sekolah Kebangsaan Tanjung Pisau di Lalasun, di sini, kelmarin.
Daripada jumlah itu, RM500,000 diperuntukkan untuk Kampung Tanjung Pisau, manakala RM100,000 lagi disalurkan kepada sekolah berkenaan.
Enam projek dilaksanakan menerusi inisiatif itu, termasuk kerja penyelenggaraan dua jeti, bangunan sekolah serta pagar Masjid Haji Yaakob.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pemilihan Kampung Tanjung Pisau sebagai lokasi program mengambil kira kedudukannya sebagai sebuah komuniti maritim yang mempunyai hubungan rapat dengan aktiviti kehidupan dan sumber rezeki penduduk setempat.
Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan turut menjadi sebahagian daripada usaha Maritim Malaysia untuk mendekati serta membina hubungan lebih erat dengan masyarakat pesisir.
“Kenapa kita memilih kawasan ini? Yang sebenarnya kawasan ini merupakan kawasan komuniti maritim dan kita, dalam antara program kita, kita ada Program Sahabat Maritim yang mana kita mendekatkan diri kita dengan penduduk komuniti maritim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan di Kampung Tanjung Pisau, hari ini.
Selain penambahbaikan kemudahan fizikal, program berkenaan turut memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan kesedaran masyarakat berkaitan persekitaran maritim.
Penduduk komuniti pesisir digalakkan untuk berperanan sebagai mata dan telinga Maritim Malaysia dengan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan, kecemasan atau sebarang ancaman di perairan negara.
Pada masa sama, murid Sekolah Kebangsaan Tanjung Pisau turut diberi pendedahan mengenai dunia maritim, aspek keselamatan di laut serta penerapan nilai disiplin, integriti dan tanggungjawab.
Mohd Rosli berkata, usaha berkenaan diharapkan dapat mewujudkan hubungan yang berterusan antara Maritim Malaysia dengan komuniti setempat, bukan sekadar melalui pelaksanaan program dalam tempoh tertentu.
Inisiatif itu juga dilihat dapat memberi manfaat langsung kepada penduduk dan warga sekolah menerusi kemudahan yang lebih baik, selain memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan serta kesejahteraan komuniti Maritim. – DAKWAT RAKYAT POST
